Tuesday, September 18, 2007

TAZKIRAH 3

Hati Yang Buta

Allah SWT berfirman;
" Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat
kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya
mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?
( Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna ) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada
di dalam dada. "
Q.S Al-Hajj : 46

" Hati ( qalb ) adalah pusat segala aktiviti dan kegiatan. Kerana itu, sabda Rasulullah
SAW, jika hati betul, maka akan betul pula segala-galanya. Namun, jika hati rosak, maka
akan rosak segala yang ada pada diri mereka. "
HR Bukhari dan Muslim

Betapa penting dan menentukannya hati itu, maka kepada setiap orang yang beriman, Allah
SWT menyuruh untuk selalu membersihkan dan menajamkannya. Dengan hati yang tajam,
terang, dan jernih, serta dibimbing oleh wahyu Allah SWT, setiap manusia akan mampu
memilih yang haqq ( benar ) dari yang bathil ( salah ), yang putih dari yang hitam, dan
yang maslahat dari yang mafsadat ( merosak ). Bahkan, ketika Rasulullah SAW ditanya
tentang pengertian kebaikan ( al-Birr ) oleh sahabat Wabisah bin A'bad, beliau
mengatakan, " Tanyalah hatimu! "

" Kebaikan itu jika dilakukan akan mengakibatkan ketenangan hati ( batin ). Sedangkan
perbuatan dosa jika dilakukan akan mengakibatkan keraguan dan ketidaktenangan batin
( hati ), walaupun ramai orang yang menyetujuinya. "
HR Imam Ahmad

Terkait dengan perkara tersebut, Allah SWT juga menjanjikan bahawa hati yang selalu
bertaubat akan mendapatkan syurga. FirmanNya;
" ( Iaitu ) orang yang takut ( melanggar perintah Allah ) Yang Maha Pemurah, semasa tidak
dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang ( kepada Allah )
dengan hati yang tunduk taat.
( Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata ): Masuklah kamu ke dalam Syurga
dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari ( bermulanya ) kehidupan yang kekal.
Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ dan di sisi Kami ada lagi tambahan
( limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka ). "
Q.S Qaaf : 33 - 35

Hati yang terbimbing cahaya Ilahi akan mampu memahami berbagai fenomena alam yang
terjadi dan berbagai musibah yang menimpa, baik pada dirinya mahupun pada masyarakat
secara keseluruhan, untuk kemudian dijadikan ibrah atau pelajaran untuk lebih
memperbaiki dirinya dan meningkatkan kualiti keimanannya. Sebaliknya, hati yang buta
seperti diisyaratkan pada Surah Al-Hajj ayat 46 di atas tidak akan mampu melihat apalagi
mengambil pelajaran.

Musibah semakin banyak terjadi, tetapi tetap saja ramai manusia yang sombong dan takbur
serta tetap melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Kelompok orang-orang fakir-miskin
yang kelaparan semakin banyak, namun tetap sajhaa ramai orang melakukan rasuah dan
menghabiskan wang negara untuk kepentingan peribadi dan kelompoknya.

Orang yang buta hatinya di dunia, di akhirat kelak akan semakin buta dan semakin
tersesat jalannya. Ini sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Isra' ayat 72;
" Dan ( sebaliknya ) sesiapa yang berada di dunia ini ( dalam keadaan ) buta ( mata
hatinya ) maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. "

Marilah kita semua berlindung kepada Allah SWT dari memiliki hati yang buta.

Wallahua'lam Bisshawab

TAZKIRAH RAMADHAN 2

Berhati-Hatilah Dengan Perbuatan Anda

Setiap insan akan bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuat, dan barangsiapa
yang beriman dan berbuat baik maka ia masuk syurga, dan barangsiapa yang kufur kepada
Allah SWT dan RasulNya maka ia masuk neraka, Allah SWT berfirman;
" Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami
akan membakar mereka dalam api Neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami
gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan
( ingatlah ) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam
Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-
lamanya. Mereka beroleh dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci
bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi. "
Q.S An-Nisaa’ : 56 - 57

Semua perbuatan baik hanya akan bermanfaat kepada pelakunya, Allah tidak memerlukan
perbuatan itu, begitu pula semua perbuatan buruk hanya akan membahayakan pelakunya,
perbuatan buruk itu tidak akan membahayakan Allah sedikit pun, sebagaimana firmanNya;
" Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya
sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri
dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. "
Q.S Fussilat : 46

Dan juga;
“ Dan sesiapa yang berjuang ( menegakkan Islam ) maka sesungguhnya dia hanyalah
berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya ( tidak
berhajatkan sesuatupun ) daripada sekalian makhluk. “
Q.S Al-‘Ankabuut : 6

Allah SWT Maha Mulia akan melipatgandakan seluruh perbuatan baik, sebagaimana
firmanNya;
" Sesiapa yang membawa amal kebaikan ( pada hari kiamat ), maka baginya ( balasan )
sepuluh kali ganda ( dari kebaikan ) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa
amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan ( kejahatan ) yang sama dengannya;
sedang mereka tidak dianiaya ( sedikitpun ). "
Q.S Al-An’aam : 160

Perbuatan-perbuatan baik seperti sholat, zakat, puasa, haji, memerintahkan kepada
kebaikan, mencegah kemunkaran, berjihad, membaca Al Quran dan lain-lain yang termasuk
syariat Islam, semua perbuatan itu akan mendapat imbalan berupa syurga, sebagaimana
disebutkan di dalam Al Quran;
" Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia
beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya ( atau
dikurangkan balasannya ) sedikitpun. "
Q.S An-Nisaa’ : 124

Perbuatan-perbuatan buruk seperti kezaliman, syirik, membunuh, perosakan, takbur dan
lain-lainnya dari perbuatan maksiat, maka imbalan dari semua perbuatan maksiat itu
adalah neraka jahannam, kecuali bagi orang-orang yang bertaubat, Allah berfirman;
" Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melampaui batas-batas
SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api Neraka, kekallah dia di dalamnya
dan baginya azab seksa yang amat menghina. "
Q.S An-Nisaa’ : 14

Semua perbuatan dan perkataan yang baik mahupun yang buruk, seluruhnya mempunyai
ikatan dengan Allah sang Pencipta, firmanNya;
" Inilah surat ( tulisan malaikat ) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang
benar, kerana sesungguhnya Kami telah ( perintahkan malaikat ) menulis segala yang kamu
telah lakukan ( di dunia dahulu )! "
Q.S Al-Jaathiyah : 29

Allah tidak akan menerima perbuatan baik kecuali jika dikerjakan dengan penuh ikhlas
hanya kerana Allah serta sesuai dengan petunjuk Rasulullah SAW sebagaimana firmanNya;
“ Katakanlah ( wahai Muhammad ) : Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti
kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu,
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam
ibadatnya kepada Tuhannya.. "
Q.S Al-Kahfi : 110

Pada hari kiamat setiap manusia akan mendapat kitab yang berisi semua catatan seluruh
amal perbuatannya di dunia, lalu dikatakan kepadanya.

" Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:
Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya ( berlaku demikian ).
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak ( dari kubur masing-masing ) untuk
diperlihatkan kepada mereka ( balasan ) amal-amal mereka.
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya ( dalam surat
amalnya )!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya ( dalam surat
amalnya )! "
Q.S Az-Zalzalah : 4 - 8

Pada hari kiamat nanti, setiap manusia akan diberikan kitab catatan amalnya, lalu
dikatakan kepadanya:
" ( Lalu Kami perintahkan kepadanya ): Bacalah Kitab ( suratan amalmu ), cukuplah engkau
sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu ( tentang segala yang telah
engkau lakukan ). "
Q.S Al-Israa’ : 14

Maka barangsiapa yang beriman dan melakukan kebaikan ia akan mengambil kitab itu
dengan tangan kanannya sambil bergembira dan masuk syurga, dan barangsiapa yang
menentang Allah dan RasulNya ia akan mengambil kitab itu dengan tangan kirinya atau
dari belakang punggungnya dan akan masuk neraka jahannam, sebagaimana firman Allah;
" Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya;
Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Dan dia akan pergi kepada keluarganya ( yang beriman ) dengan sukacita.
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya ( dengan tangan kiri ), dari sebelah
belakangnya,
Maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
Dan dia akan menderita bakaran Neraka yang marak menjulang. "
Q.S Al-Insyiqaaq : 7 - 12

Sungguh, sangat jauh perbezaan antara iman dan kufur, antara ketaatan dan kemaksiatan,
antara penghuni syurga dan penghuni neraka, firman Allah menyebutkan;
" ( Jika demikian halnya ) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang
fasik? Mereka tidaklah sama ( dalam menerima balasan ).
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga
tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah Neraka; tiap-
tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta
dikatakan kepada mereka: Rasalah azab Neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di
dunia dahulu. "
Q.S As-Sajdah : 18 - 20

Allah telah menerangkan bahawa orang-orang mukmin adalah para pemenang dan orang-
orang kafir adalah golongan yang dalam kerugian, sebagaimana firman Allah;
" Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. "
Q.S Al-‘Asr : 1 - 3

Ya Allah berilah kami rezeki berupa syurga, selamatkanlah kami dari siksa neraka, dan
kasihanilah kami dengan rahmatMu, Wahai yang Maha Penyayang.

Wallahu’alam Bisshawab.

TAZKIRAH RAMADHAN 1

Cantik Atau Tampan.....

Apa yang ada dikepala anda ketika seseorang menyebut anda ‘cantik’?

Senang, suka, bahagia, berbunga-bunga, mungkin itu yang anda rasakan. Apalagi kalau
kata-kata itu keluar dari seseorang yang memang anda harapkan untuk mengucapkannya.
Fhuhhh... bukan main rasanya!

Pernah ada seseorang bertanya; " Bagaimanakah menurutmu definisi cantik itu? "

Entah perkara apa yang sedang beliau lalui, sehingga membuatnya bertanya seperti itu.
Aku hanya dapat membuat dugaan sambil tersenyum dalam.

'Cantik' ( secara fisikal ) menurut kamus diertikan sebagai indah, elok, rupawan, menarik
atau manis dan sedap dipandang. Tidak pula dijelaskan secara terperinci yang bagaimana
yang sedap dipandang itu, apakah hidung mancung dengan bibir tebal? Atau hidung biasa
dengan bibir kecil? dan sebagainya.

Cantik itu memang relatif. Definisi kecantikan selalu berubah menurut waktu dan tempat.
Sebahagian mengatakan wanita yang berkulit putih itu cantik, sementara sebahagian yang
lain pula mengatakan yang cantik adalah yang berkulit sawo matang. Sebahagian lagi
berpendapat orang cantik itu adalah yang tinggi seperti para model, padahal ada
sebahagian yang lain justeru mengatakan bahawa yang cantik itu adalah wanita yang kecil
'kiut-miut'. Ada juga orang yang mengatakan bahawa yang bermata sepet itu cantik,
padahal ada orang yang justeru mengatakan cantik kepada seorang wanita yang bermata
besar. Setiap orang mungkin mempunyai definisi masing-masing tentang apa itu cantik. Dan
tidak ada seorangpun yang dapat kita paksa untuk menerima definisi ' cantik ' menurut
kehendak kita.

Tanyakanlah kepada setiap wanita tentang perasaan mereka ketika dipuji dengan kata
cantik. Pasti, tidak semua orang ( walaupun mungkin hanya sebahagian yang kecil ) akan
bahagia ketika dipuji seperti itu. Kerana ternyata, ketika kita renungkan lebih jauh, tidak
selalu pujian itu mengatakan perkara yang sebenarnya. Ianya sangat tergantung dengan
orang yang mengucapkan, keadaan ketika kata itu terlontar, ekspresi wajah dan gerak
tubuh dari si pemuji, konteks kalimah itu sendiri, kalimah yang mengiringi pujian itu, dan
sebagainya. Boleh jadi seseorang menyebut kita cantik hanya untuk menghibur hati yang
sedih, atau ingin mengambil hati untuk sesuatu sebab, atau malah ingin menyindir, atau
memang kerana perkara itu adalah suatu kebenaran.

Jangan besar kepala ketika ada seseorang yang menyanjung kita dengan pujian cantik.
Jangan pula berkecil hati ketika tidak pernah ada yang memuji kita seperti itu. Bukankah
itu semua adalah ujian. Apakah kecantikan ( atau ketidakcantikan ) itu akan membawa kita
lebih dekat kepadaNya, ataukah justeru akan menjadi fitnah besar yang menyeret kaki
kita ke jurang kenistaan.

Ketika pujian itu terlontar, ucapkanlah ' Alhamdulillah ' kerana memang segala pujian itu
hanya layak ditujukan kepadaNya, Sang Penyempurna segala kejadian. Lalu; segeralah
beristighfar! Kerana pujian itu boleh jadi akan melintaskan rasa sombong ( walaupun
mungkin orang lain tidak bisa melihat kesombongan itu ). Segera beristighfar! !

Sementara ketika pujian itu tidak juga terlontar, atau justeru terlontar kepada orang
selain kita, ucapkanlah juga ' Alhamdulillah ' Kerana mungkin Allah sedang hendak menguji
rasa syukur kita. Rasa syukur atas apa yang ada, juga rasa syukur atas kesempurnaan
kejadian kita. Ingatkah firmanNya;
" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya ( dan
berkelengkapan sesuai dengan keadaannya ). "
Q.S At-Tiin : 4

Berbahagialah kalian ketika kecantikan itu bukan sekadar menghiasi wajah, tapi terutama
hati dan akhlak kita. Kerana kecantikan fisikal pasti akan menurun seiring dengan
bertambahnya usia. Tetapi kecantikan hati dan akhlak, itulah yang akan bersinar dan terus
dikenang oleh orang-orang disekeliling kita.

Wallahua’lam bishshawab.

" Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah kejadian ( fizikal ) ku, maka perindah
pulalah akhlakku. "
HR. Ahmad

Friday, September 14, 2007

MANUSIA LUPA PERSOALAN AKHIRAT

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-nya.

Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita melihat betapa Allah Taala telah menunjukkan di hadapan manusia di seluruh dunia tanda-tanda kemusnahan alam akibat daripada perbuatan manusia.

Berlakunya beberapa bencana yang menenggelamkan bumi, menghancurkan bukit dan gunung-ganang serta bencana yang mengorbankan jiwa manusia yang ramai, menghilangkan harta benda, ia tidak mampu ditolak oleh kemajuan sains dan teknologi sehingga akhirnya ahli-ahli sains dan termasuk mereka yang tidak percaya kepada berlakunya hari kiamat, percaya bahawa dunia ini akan musnah.

Mereka percaya suatu masa bahawa bumi ini akan kiamat, namun mereka tidak membincangkan apakah persediaan untuk kiamat tersebut.

Inilah persoalan yang tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Allah Taala telah mengingatkan kita dalam al-Quran, antara firman-Nya (yang bermaksud): “(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah ingin kalau ada jarak yang jauh antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu ingat beringat terhadap kekuasaan dirinya dan Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. (Surah Ali Imran: ayat 30)

Ayat ini adalah peringatan daripada Allah SWT kepada seluruh manusia bahawa Allah akan memperlihatkan semua amalan mereka, akan dihisab sama ada amalan yang baik mahupun jahat. Bukan sahaja diketahui oleh Allah bahkan ia dicatat oleh para malaikat dan disaksikan oleh anggota badan manusia sendiri.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: ayat 65)

Pada hari itu, setelah dibuka segala amalan mereka, mereka hanya mahu amalan-amalan yang baik sahaja. Kalau boleh amalan jahat yang dilakukan oleh mereka dijauhkan dengan sejauh-jauhnya. Padahal amalan jahatlah yng sangat diingati oleh mereka dalam kehidupan di dunia ini.

Itulah peringatan Allah Taala tetapi kebanyakan manusia melupai perkara ini, bahkan mereka dilalaikan oleh kehidupan yang menggoda. Allah Taala memperingtakan dalam al-Quran yang menyatakan bahawa amalan mereka akan diperhitungkan dengan penuh teliti.

Antara lainnya, firman Allah Taala yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya amalnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.” (Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)

Tetapi apa yang malangnya ialah semua hal yang seumpama ini tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Maka seolah-olah manusia tenggelam dalam kehidupan dunia selama-lamanya.

Pada mereka, tidak ada kematian yang akan berlaku, lantas mereka lari daripada petunjuk Allah Taala. Mereka lari daripada agama Allah Taala dan membuat ajaran-ajaran sendiri, kemudian beramal mengikut kemahuan diri sendiri. Tindakan itu menyebabkan mereka hanyut dalam kehidupan yang menyusahkan di dunia serta di akhirat akan mengalami keadaan yang lebih susah dan lebih menyulitkan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad), taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya, oleh itu, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran: ayat 31-32

ILMU HILANG JIKA TIDAK BERAMAL

Tafsir Surah al-Maidah ayat 66) Jika mereka beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah nescaya Dia menjamin rezeki mereka dengan menurunkan hujan, hasil bumi yang berkat kepada mereka sebagai kurniaan Allah, sebagaimana firman-Nya kepada orang-orang yang beriman yang bermaksud: "Kalaulah penduduk negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan yang datang dari langit dan bumi." (Surah al-Anfal: 96)

Allah Taala beri keberkatan kepada mereka. Bagaimanapun ada perbezaan antara berkat dan kekayaan. Ada negeri yang kaya raya tetapi tidak ada keberkatan dalam pentadbiran kerajaannya.

Negeri itu kaya tetapi susah dengan banyaknya maksiat dan sebagainya dengan sebab kekayaan yang diperolehi.

Ini menandakan tidak adanya keberkataan dalam kekayaan yang diperolehi itu akibat penyalahgunaan kekayaan untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Allah SWT.

Sementara perkataan berkat hanya ada dalam Islam sahaja. Dalam ilmu ekonomi Barat tidak ada perkataan berkat. Begitu juga semua sistem atau teori Barat termasuk kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme, dan sebagainya tidak ada persoalan yang berkaitan dengan keberkatan. Apa yang ada ialah persoalan kekayaan, kesenangan dan kemajuan.

Berkat bermakna sekiranya kita kaya, kita menjadi baik dengan kekayaan yang diperolehi. Rezeki yang sedikit membawa kebaikan yang banyak.

Berkat yang dikurniakan oleh Allah apabila seseorang itu beriman dan bertakwa. Ini perkara yang dijanjikan oleh Allah.

Tetapi Allah Taala nyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Telah zahir keburukan di darat dan di laut hasil dari kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka kerjakan mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah." (Suratur Rum: 41)

Senang pada zahirnya tetapi susah pada hakikatnya. Antara lain ialah duit banyak tetapi tidak tahu bagaimanakah cara menggunakannya.

Wang yang digunakan untuk membuat sesuatu, tidak memberi faedah dan tidak mendatangkan pahala serta kebaikan daripada Allah SWT.

Ini adalah janji dari Allah untuk mengurniakan rezeki kepada orang Yahudi. Wahai orang Yahudi, wahai ahlil kitab, masuk Islamlah kamu. Kamu tegakkan Taurat dan Injil, nescaya kamu selamat.

Ramai di kalangan pendita-pendita Yahudi takut masuk Islam. Mereka menyangka Jika masuk Islam mereka akan bertukar perwatakan, yang menjadi pemimpin tidak lagi menjadi pemimpin, dan yang kaya menjadi miskin.

Mereka nampak dunia semata-mata tetapi mereka tidak nampak apakah kebaikan yang akan diperolehi di hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w. menyatakan kepada orang yang beriman dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim bahawa suatu hari Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud; "Hampirlah ilmu itu dihilangkan oleh Allah."

Dalam hadis yang lain diriwayatkan bahawa makna menghilangkan ilmu itu ialah dimatikan ahli-ahli ilmu (para ulama). Sementara orang Islam tidak beramal dengan ilmu.

Akibat itu ilmu menjadi hilang dan ilmu yang paling pertama hilang ialah ilmu pembahagian harta pesaka yang menjadikan tanda hampirnya kiamat, sehingga tidak ada seorang pun yang mengetahui cara pembahagian harta pusaka mengikut hukum Islam.

Ada perancangan di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan sistem pembahagian pusaka menurut Islam kerana mendakwa kononnya Islam tidak berlaku adil terhadap lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka.

Akhirnya perancangan itu akan berjaya sekiranya orang Islam tidak mempertahankan hukum Islam. Bila para ulama membisu seribu bahasa, tidak berani menegakkan yang hak, akhirnya Allah Taala menghilangkan ilmu dengan mematikan ulama.

Apabila Nabi s.a.w. mengatakan hampirlah diangkat ilmu, lalu seorang sahabat yang bernama Ziad bin Labit berkata, "wahai Rasulullah, bagaimana diangkatkan ilmu pada hal kami membaca al-Quran dan kami mengajarkannya kepada anak-anak kami."

Dalam satu riwayat yang lain, "kami ajar kepada anak-anak kami, anak-anak kami pula mengajar kepada cucu-cucu kami, cucu-cucu kami mengajar kepada cicit-cicit kami, mana boleh diangkatkan ilmu."

Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; "Apakah engkau ni wahai Ibnu Labit, sesungguhnya aku berpendapat engkaulah orang yang paling faham di kalangan penduduk Madinah. Tetapi di dalam perkara ini kamu tidak memahaminya."

"Tidakkah, Taurat dan Injil berada di tangan orang-orang Yahudi dan Nasara? Taurat dan Injil tidak boleh berbuat apa-apa kepada mereka itu kerana mereka meninggalkan perintah Allah. Allah berfirman yang bemaksud; "kalaulah sekiranya mereka itu menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka itu boleh makan rezeki dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di kalangan mereka itu ada golongan yang sederhana dan kebanyakan mereka itu alangkah buruknya apa yang mereka lakukan." (Surah al-Maidah:66)

MENGAPA MANUSIA BERANI MENENTANG ALLAH SECARA TERBUKA

Sejak akhir-akhir ini, para ulama' sering menekankan keprihatinan dan kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada landasan Islam sebenar.

Ia dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan yang disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu) tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam.

Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah as-Syams (91), Allah berfirman yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; - 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).

Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri dan lumrah biasa, sebab itu al-Quran mendedahkan bahawa penghuni Neraka lebih ramai daripada penghuni Syurga.

Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran, kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, menolak al-Quran, terlibat dalam rasuah, judi, meninggalkan solat, tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah menentang Allah dengan menghina hukum-hukum-Nya.

Sebab Penentangan Manusia terhadap Allah

Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama’ berhubung faktor yang menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah SWT selaku Pencipta mereka.

1- Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.

2- Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun iman yang enam.

3- Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya, pahala dan dosa serta Syurga dan Neraka.

4- Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan.

5- Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah.

6- Berputus asa dari rahmat Allah (kasih sayang-Nya).

7- Tidak mempercayai qada’ dan qadar Allah malah mempertikainya.

8- Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang dilakukannya.

9- Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia).

10- Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama sebagai manusia bernama Islam.

11- Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak.

12- Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan Allah SWT.

13- Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya.

14- Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama golongan yang soleh.

15- Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan hubungan sesama mereka.

16- Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan pengganas dan lain-lain.

17- Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam.

18- Meninggalkan tugas utama Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

· Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).

· Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

· Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

· Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

· Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.

· Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin

MODAL INSAN MENURUT ISLAM

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan adalah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita memberi perhatian kepada perkara hangat yang diperkatakan kini iaitu yang berkaitan dengan modal insan. Persoalannya ialah modal insan untuk apa?

Perkara ini difahami mengikut ideologi dan fahaman masing-masing. Ideologi yang berteraskan kebendaan menyatakan bahawa modal insan adalah menggunakan manusia bagi memajukan negara untuk mendatangkan hasil ekonomi serta kemajuan kebendaan yang meningkat sama ada ideologi sosialis, komunis mahupun kapitalis.

Mereka memberi penekanan bahawa manusia menjadi modal insan untuk melahirkan manusia yang memberi kemajuan dari segi kebendaan.

Adapun Islam, agama Allah SWT melihat modal insan itu mestilah berpandukan acuan serta ketetapan daripada Allah SWT. Allah telah menetapkan tiga tujuan manusia dijadikan di muka bumi.

Pertama, supaya mereka beribadat kepada Allah, dengan makna mengabdikan diri, tunduk kepada semua perkara yang diperintah oleh Allah.

Perkara kedua adalah manusia dijadikan sebagai khilafah dengan tujuan untuk mentadbir bumi Allah dengan agama Islam.

Ketiga adalah untuk memikul amanah dalam menunaikan perintah Allah sama ada dalam ibadat atau melakukan khilafah.

Bagi menyempurnakan semua perkara itu, maka manusia itu mestilah dibentuk mengikut insan yang telah ditetapkan acuan oleh Allah. Sekiranya tidak, maka modal insan itu akan menempah kerugian.

Allah SWT telah menetapkan acuan di dalam al-Quran (maksudnya): Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr: 1-3)

Imam As-Shafie menegaskan, sekiranya Allah tidak menurunkan kepada umat ini melainkan hanya ayat ini sahaja, nescaya cukup bagi mereka. Betapa pentingnya surah ini bagi membangun insan sehingga salafusoleh di kalangan sahabat dan tabiin mengakhirkan majlis dengan surah ini.

Allah SWT telah menetapkan bahawa insan yang dinamakan manusia itu tidak ada erti dan tiada makna bahkan hanya membawa kerugian sekiranya tidak menyempurnakan perkara-perkara yang disebut iaitu pertamanya beriman, kedua mengerjakan amal yang soleh, yang ketiga berpesan dengan perkara yang benar dan keempat, berpesan dengan kesabaran.

Iman merupakan perkara yang penting bagi diri mansuia. Segala amalan manusia ditolak oleh Allah sekiranya tidak berlandaskan kepada iman yang tepat dan betul sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah serta diajar oleh para nabi dan rasul-rasul. Betapa pentingnya iman menjadi modal kepada kehidupan manusia.

Apabila seorang sahabat, Sufian bin Uyainah bertanyakan Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah, terangkan kepadaku berkenaan dengan Islam, sesuatu yang aku tidak perlu bertanya lagi selain engkau. Jawab Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah. Beristiqamah dengan pengertian mengikut jalan yang betul, jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., yang sempurna dan lengkap. Bermula hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya sendiri, keluarganya, masyarakatnya serta hubungannya dengan makhluk-makhluk yang lain dalam kehidupan ini.

Perkara iman disempurnakan oleh Rasulullah s.a.w. secara praktikal dalam perjalanan hidupnya. Iman tidak cukup dengan hanya percaya sahaja tanpa keyakinan di dalam hati.

Dalam masa yang sama, iman itu mestilah dipelihara daripada perkara yang membatalkan iman. Sekiranya sekadar iman, dalam masa yang sama membenarkan gejala murtad, hiburan yang keterlaluan, mencabar dan melanggar hukum Allah, maka insan yang tiada iman itu tidak akan menjadi modal, bahkan rugi di dunia dan akhirat.

Sebaliknya iman itu mestilah disempurnakan dengan amal yang soleh, mengerjakan ketaatan dalam perkara yang diperintah oleh Allah serta meninggalkan segala perkara maksiat, yang ditegah oleh Allah.

Dalam pengertian yang lain, mestilah melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.

Maka bagi merealisasikan modal insan itu, perlulah berpandukan kepada kebenaran yang dinyatakan oleh Allah.

Yang benar hanya Islam manakala yang lain adalah palsu. Kita juga diwajibkan berpesan-pesan dengan kebenaran kerana kebenaran itu terlalu banyak halangannya. Allah Taala menguji kehidupan dengan dikelilingi dengan perkara-perkara yang batil sejak Nabi Adam a.s.

Oleh kerana cabaran kebenaran itu terlalu banyak, maka ia perlu kepada kesabaran. Hanya mereka yang sabar sahaja dapat memelihara imannya, sebaliknya yang tidak sabar akan terjerumus dalam kehancuran.

Firman Allah (maksudnya): Alif, lam, mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedang mereka tidak diuji. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdosa. (Al-Ankabut: 1-3)

Perlu difahami bahawa kehidupan ini penuh dengan ujian. Mereka yang berada atas dasar kebenaran serta berpesan dengan kesabaran akan mendapat kemenangan. Manakala mereka yang tidak membina insannya, tidak beramal soleh serta tidak menegakkan kebenaran, bermakna mereka tidak mempunyai modal insan, bahkan insannya musnah serta hancur di dunia dan akhirat.

Firman Allah (maksudnya): Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi banyak bagi mereka tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Ali Imran: 110)