Tuesday, September 18, 2007

TAZKIRAH 3

Hati Yang Buta

Allah SWT berfirman;
" Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat
kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya
mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?
( Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna ) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada
di dalam dada. "
Q.S Al-Hajj : 46

" Hati ( qalb ) adalah pusat segala aktiviti dan kegiatan. Kerana itu, sabda Rasulullah
SAW, jika hati betul, maka akan betul pula segala-galanya. Namun, jika hati rosak, maka
akan rosak segala yang ada pada diri mereka. "
HR Bukhari dan Muslim

Betapa penting dan menentukannya hati itu, maka kepada setiap orang yang beriman, Allah
SWT menyuruh untuk selalu membersihkan dan menajamkannya. Dengan hati yang tajam,
terang, dan jernih, serta dibimbing oleh wahyu Allah SWT, setiap manusia akan mampu
memilih yang haqq ( benar ) dari yang bathil ( salah ), yang putih dari yang hitam, dan
yang maslahat dari yang mafsadat ( merosak ). Bahkan, ketika Rasulullah SAW ditanya
tentang pengertian kebaikan ( al-Birr ) oleh sahabat Wabisah bin A'bad, beliau
mengatakan, " Tanyalah hatimu! "

" Kebaikan itu jika dilakukan akan mengakibatkan ketenangan hati ( batin ). Sedangkan
perbuatan dosa jika dilakukan akan mengakibatkan keraguan dan ketidaktenangan batin
( hati ), walaupun ramai orang yang menyetujuinya. "
HR Imam Ahmad

Terkait dengan perkara tersebut, Allah SWT juga menjanjikan bahawa hati yang selalu
bertaubat akan mendapatkan syurga. FirmanNya;
" ( Iaitu ) orang yang takut ( melanggar perintah Allah ) Yang Maha Pemurah, semasa tidak
dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang ( kepada Allah )
dengan hati yang tunduk taat.
( Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata ): Masuklah kamu ke dalam Syurga
dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari ( bermulanya ) kehidupan yang kekal.
Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ dan di sisi Kami ada lagi tambahan
( limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka ). "
Q.S Qaaf : 33 - 35

Hati yang terbimbing cahaya Ilahi akan mampu memahami berbagai fenomena alam yang
terjadi dan berbagai musibah yang menimpa, baik pada dirinya mahupun pada masyarakat
secara keseluruhan, untuk kemudian dijadikan ibrah atau pelajaran untuk lebih
memperbaiki dirinya dan meningkatkan kualiti keimanannya. Sebaliknya, hati yang buta
seperti diisyaratkan pada Surah Al-Hajj ayat 46 di atas tidak akan mampu melihat apalagi
mengambil pelajaran.

Musibah semakin banyak terjadi, tetapi tetap saja ramai manusia yang sombong dan takbur
serta tetap melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Kelompok orang-orang fakir-miskin
yang kelaparan semakin banyak, namun tetap sajhaa ramai orang melakukan rasuah dan
menghabiskan wang negara untuk kepentingan peribadi dan kelompoknya.

Orang yang buta hatinya di dunia, di akhirat kelak akan semakin buta dan semakin
tersesat jalannya. Ini sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Isra' ayat 72;
" Dan ( sebaliknya ) sesiapa yang berada di dunia ini ( dalam keadaan ) buta ( mata
hatinya ) maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. "

Marilah kita semua berlindung kepada Allah SWT dari memiliki hati yang buta.

Wallahua'lam Bisshawab

No comments: