Friday, September 14, 2007

MODAL INSAN MENURUT ISLAM

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan adalah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita memberi perhatian kepada perkara hangat yang diperkatakan kini iaitu yang berkaitan dengan modal insan. Persoalannya ialah modal insan untuk apa?

Perkara ini difahami mengikut ideologi dan fahaman masing-masing. Ideologi yang berteraskan kebendaan menyatakan bahawa modal insan adalah menggunakan manusia bagi memajukan negara untuk mendatangkan hasil ekonomi serta kemajuan kebendaan yang meningkat sama ada ideologi sosialis, komunis mahupun kapitalis.

Mereka memberi penekanan bahawa manusia menjadi modal insan untuk melahirkan manusia yang memberi kemajuan dari segi kebendaan.

Adapun Islam, agama Allah SWT melihat modal insan itu mestilah berpandukan acuan serta ketetapan daripada Allah SWT. Allah telah menetapkan tiga tujuan manusia dijadikan di muka bumi.

Pertama, supaya mereka beribadat kepada Allah, dengan makna mengabdikan diri, tunduk kepada semua perkara yang diperintah oleh Allah.

Perkara kedua adalah manusia dijadikan sebagai khilafah dengan tujuan untuk mentadbir bumi Allah dengan agama Islam.

Ketiga adalah untuk memikul amanah dalam menunaikan perintah Allah sama ada dalam ibadat atau melakukan khilafah.

Bagi menyempurnakan semua perkara itu, maka manusia itu mestilah dibentuk mengikut insan yang telah ditetapkan acuan oleh Allah. Sekiranya tidak, maka modal insan itu akan menempah kerugian.

Allah SWT telah menetapkan acuan di dalam al-Quran (maksudnya): Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr: 1-3)

Imam As-Shafie menegaskan, sekiranya Allah tidak menurunkan kepada umat ini melainkan hanya ayat ini sahaja, nescaya cukup bagi mereka. Betapa pentingnya surah ini bagi membangun insan sehingga salafusoleh di kalangan sahabat dan tabiin mengakhirkan majlis dengan surah ini.

Allah SWT telah menetapkan bahawa insan yang dinamakan manusia itu tidak ada erti dan tiada makna bahkan hanya membawa kerugian sekiranya tidak menyempurnakan perkara-perkara yang disebut iaitu pertamanya beriman, kedua mengerjakan amal yang soleh, yang ketiga berpesan dengan perkara yang benar dan keempat, berpesan dengan kesabaran.

Iman merupakan perkara yang penting bagi diri mansuia. Segala amalan manusia ditolak oleh Allah sekiranya tidak berlandaskan kepada iman yang tepat dan betul sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah serta diajar oleh para nabi dan rasul-rasul. Betapa pentingnya iman menjadi modal kepada kehidupan manusia.

Apabila seorang sahabat, Sufian bin Uyainah bertanyakan Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah, terangkan kepadaku berkenaan dengan Islam, sesuatu yang aku tidak perlu bertanya lagi selain engkau. Jawab Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah. Beristiqamah dengan pengertian mengikut jalan yang betul, jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., yang sempurna dan lengkap. Bermula hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya sendiri, keluarganya, masyarakatnya serta hubungannya dengan makhluk-makhluk yang lain dalam kehidupan ini.

Perkara iman disempurnakan oleh Rasulullah s.a.w. secara praktikal dalam perjalanan hidupnya. Iman tidak cukup dengan hanya percaya sahaja tanpa keyakinan di dalam hati.

Dalam masa yang sama, iman itu mestilah dipelihara daripada perkara yang membatalkan iman. Sekiranya sekadar iman, dalam masa yang sama membenarkan gejala murtad, hiburan yang keterlaluan, mencabar dan melanggar hukum Allah, maka insan yang tiada iman itu tidak akan menjadi modal, bahkan rugi di dunia dan akhirat.

Sebaliknya iman itu mestilah disempurnakan dengan amal yang soleh, mengerjakan ketaatan dalam perkara yang diperintah oleh Allah serta meninggalkan segala perkara maksiat, yang ditegah oleh Allah.

Dalam pengertian yang lain, mestilah melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.

Maka bagi merealisasikan modal insan itu, perlulah berpandukan kepada kebenaran yang dinyatakan oleh Allah.

Yang benar hanya Islam manakala yang lain adalah palsu. Kita juga diwajibkan berpesan-pesan dengan kebenaran kerana kebenaran itu terlalu banyak halangannya. Allah Taala menguji kehidupan dengan dikelilingi dengan perkara-perkara yang batil sejak Nabi Adam a.s.

Oleh kerana cabaran kebenaran itu terlalu banyak, maka ia perlu kepada kesabaran. Hanya mereka yang sabar sahaja dapat memelihara imannya, sebaliknya yang tidak sabar akan terjerumus dalam kehancuran.

Firman Allah (maksudnya): Alif, lam, mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedang mereka tidak diuji. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdosa. (Al-Ankabut: 1-3)

Perlu difahami bahawa kehidupan ini penuh dengan ujian. Mereka yang berada atas dasar kebenaran serta berpesan dengan kesabaran akan mendapat kemenangan. Manakala mereka yang tidak membina insannya, tidak beramal soleh serta tidak menegakkan kebenaran, bermakna mereka tidak mempunyai modal insan, bahkan insannya musnah serta hancur di dunia dan akhirat.

Firman Allah (maksudnya): Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi banyak bagi mereka tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Ali Imran: 110)

No comments: