Cantik Atau Tampan.....
Apa yang ada dikepala anda ketika seseorang menyebut anda ‘cantik’?
Senang, suka, bahagia, berbunga-bunga, mungkin itu yang anda rasakan. Apalagi kalau
kata-kata itu keluar dari seseorang yang memang anda harapkan untuk mengucapkannya.
Fhuhhh... bukan main rasanya!
Pernah ada seseorang bertanya; " Bagaimanakah menurutmu definisi cantik itu? "
Entah perkara apa yang sedang beliau lalui, sehingga membuatnya bertanya seperti itu.
Aku hanya dapat membuat dugaan sambil tersenyum dalam.
'Cantik' ( secara fisikal ) menurut kamus diertikan sebagai indah, elok, rupawan, menarik
atau manis dan sedap dipandang. Tidak pula dijelaskan secara terperinci yang bagaimana
yang sedap dipandang itu, apakah hidung mancung dengan bibir tebal? Atau hidung biasa
dengan bibir kecil? dan sebagainya.
Cantik itu memang relatif. Definisi kecantikan selalu berubah menurut waktu dan tempat.
Sebahagian mengatakan wanita yang berkulit putih itu cantik, sementara sebahagian yang
lain pula mengatakan yang cantik adalah yang berkulit sawo matang. Sebahagian lagi
berpendapat orang cantik itu adalah yang tinggi seperti para model, padahal ada
sebahagian yang lain justeru mengatakan bahawa yang cantik itu adalah wanita yang kecil
'kiut-miut'. Ada juga orang yang mengatakan bahawa yang bermata sepet itu cantik,
padahal ada orang yang justeru mengatakan cantik kepada seorang wanita yang bermata
besar. Setiap orang mungkin mempunyai definisi masing-masing tentang apa itu cantik. Dan
tidak ada seorangpun yang dapat kita paksa untuk menerima definisi ' cantik ' menurut
kehendak kita.
Tanyakanlah kepada setiap wanita tentang perasaan mereka ketika dipuji dengan kata
cantik. Pasti, tidak semua orang ( walaupun mungkin hanya sebahagian yang kecil ) akan
bahagia ketika dipuji seperti itu. Kerana ternyata, ketika kita renungkan lebih jauh, tidak
selalu pujian itu mengatakan perkara yang sebenarnya. Ianya sangat tergantung dengan
orang yang mengucapkan, keadaan ketika kata itu terlontar, ekspresi wajah dan gerak
tubuh dari si pemuji, konteks kalimah itu sendiri, kalimah yang mengiringi pujian itu, dan
sebagainya. Boleh jadi seseorang menyebut kita cantik hanya untuk menghibur hati yang
sedih, atau ingin mengambil hati untuk sesuatu sebab, atau malah ingin menyindir, atau
memang kerana perkara itu adalah suatu kebenaran.
Jangan besar kepala ketika ada seseorang yang menyanjung kita dengan pujian cantik.
Jangan pula berkecil hati ketika tidak pernah ada yang memuji kita seperti itu. Bukankah
itu semua adalah ujian. Apakah kecantikan ( atau ketidakcantikan ) itu akan membawa kita
lebih dekat kepadaNya, ataukah justeru akan menjadi fitnah besar yang menyeret kaki
kita ke jurang kenistaan.
Ketika pujian itu terlontar, ucapkanlah ' Alhamdulillah ' kerana memang segala pujian itu
hanya layak ditujukan kepadaNya, Sang Penyempurna segala kejadian. Lalu; segeralah
beristighfar! Kerana pujian itu boleh jadi akan melintaskan rasa sombong ( walaupun
mungkin orang lain tidak bisa melihat kesombongan itu ). Segera beristighfar! !
Sementara ketika pujian itu tidak juga terlontar, atau justeru terlontar kepada orang
selain kita, ucapkanlah juga ' Alhamdulillah ' Kerana mungkin Allah sedang hendak menguji
rasa syukur kita. Rasa syukur atas apa yang ada, juga rasa syukur atas kesempurnaan
kejadian kita. Ingatkah firmanNya;
" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya ( dan
berkelengkapan sesuai dengan keadaannya ). "
Q.S At-Tiin : 4
Berbahagialah kalian ketika kecantikan itu bukan sekadar menghiasi wajah, tapi terutama
hati dan akhlak kita. Kerana kecantikan fisikal pasti akan menurun seiring dengan
bertambahnya usia. Tetapi kecantikan hati dan akhlak, itulah yang akan bersinar dan terus
dikenang oleh orang-orang disekeliling kita.
Wallahua’lam bishshawab.
" Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah kejadian ( fizikal ) ku, maka perindah
pulalah akhlakku. "
HR. Ahmad
Tuesday, September 18, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment