Semasa Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 2003 dahulu, ramai yang beranggapan bahawa pemimpin yang sederhana ini akan mengambil pendekatan yang moderat (sederhana) dalam hubungan antarabangsa berbanding tuannya yang terdahulu, Mahathir Mohammad, yang kerap bertegang urat secara diplomasi dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.
Akan tetapi beberapa kemelut skandal dan jenayah yang mempunyai dimensi antarabangsa, ada segelintirnya yang dikaitkan kepada anggota keluarga Abdullah sendiri, telah menyebabkan hubungan kerajaan beliau dengan Washington menjadi semakin dingin dan tidak selesa.
Pada bulan lalu, pihak berkuasa di Amerika Syarikat telah menahan dan menangkap seorang warga Pakistan bernama Jilani Huymayun kerana dikatakan mempunyai peranan menghanar barangan larangan ketenteraan ke Malaysia, dan dari sana barangan itu telah dieksport semula ke Iran. Dia juga telah dikenakan tuduhan berkonspirasi untuk melakukan penyucian wang dan penipuan mel. Segala perkakasan yang mempunyai dwi-gunaan serta sensitif sifatnya itu telah disalurkan kepada sebuah syarikat Malaysia yang tidak disebutkan namanya lagi, termasuklah beberapa alat gantian pesawat F-5 dan F-14 dan helikopter Chinook.
Pada bulan April, AS telah melaksanakan sekatan ekonomi ke atas 14 buah syarikat, individu dan agensi kerajaan yang dituduhnya mengadakan hubungan dagang dalam senjata berteknologi tinggi dengan Iran ataupun Syria. Dua daripada syarikat itu berdaftar di Malaysia, bernama ‘The Challenger Corp’ dan ‘Target Airfreight’.
Tambahan pula pada tahun lalu, sebuah juri persekutuan di New York telah menghukum seorang peniaga Singapura Ernest Koh Chong Tek kerana menyeludup barang gantian ketenteraan AS yang mempunyai dwi-kegunaan ke Malaysia untuk dihantar semula bagi kegunaan tentera Iran. Ini adalah satu pelanggaran undang-undang sekatan AS 1996, yang menyekat semua pengeksportan semula barangan ke Iran tanpa izin daripada Pejabat Foreign Asset Control, Amerika. Dia juga telah dikenakan tuduhan kerana penyucian wang berjuta-dollar melalui akaun perbankan di Singapura untuk skema penyeludupan itu semuanya.
Buat masa ini AS dan Iran memang bertelagah mengenai progam nuklear Iran, dan Washington terlalu kerap menuduh tentera Iran membekalkan senjata kepada militia Islam yang radikal di Timur Tengah, termasuk Hezbollah yang berpangkalan di Lubnan, dan juga pejuang Iraq berani mati yang menyerang askar AS di sana. Namun demikian, secara luarannya sahaja hubungan baik antara Malaysia dan Amerika nampak sempurna dan selesa.
Pegawai AS yang bercakap dengan Asia Times Online enggan memberikan sebarang komen tentang siasatan melibatkan Malaysia atas dasar maklumat sensitif daripada segi perisikan. Setakat ini pun, belum ada bukti yang mengaitkan pencemaran yang terbaru tentang sekatan ekonomi (embargo) Amerika kepada Abdullah. Namun penganalis keselamatan AS berkata beberapa kejadian terbaru ini menjadikan imbangan ‘bilateral’ (dua hala) berada di ambang yang merungsingkan.
”Saya memang percaya bahawa AS sedang memerhatikan segala keadaan ini dan menekan Malaysia di sebalik tabir,” kata Tim Huxley kepada Institutional Institute of Strategic Studies yang berpangkalan di Singapura.
AS adalah pelabur asing yang paling besar di Malaysia, dan kedua-dua negara sedang merundingkan pelbagai bentuk perjanjian dagangan bebas. Kuala Lumpur banyak bergantung kepada kewujudan tentera Amerika Syarikat untuk mengekalkan imbangan kuasa di rantau itu, khususnya terhadap jirannya yang begitu perkasa dengan kelengkapan perangnya. Pada waktu yang sama Malaysia telah sekian lama menjadi rakan utama pentadbiran AS dalam usaha “perang global mengganyang keganasan” di rantau itu.
Malaysia memerlukan AS dan tidak mahu melakukan sesuatu yang membuatkan AS cenderung ke arah Singapura, Thailand dan Indonesia,” kata Richard Bitzinger, seorang pakar keselamatan di S.Rajaratnam School of International Studies di Singapura. “Kedua-dua pihak bersedia menerima segelintir kelemahan keselamatan, seandainya ia merupakan perkara kecilan sahaja.”
Hal Ehwal Kekeluargaan
Namun, keabaian keselamatan yang terjadi baru-baru ini telah dikesan hingga ke peringkat yang paling tertinggi dalam tangga perniagaan dan politik elitis Malaysia, hingga mencetuskan persoalan tentang niat sebenar dasar luar Abdullah. Masih terdapat teka-teki besar membabitkan kerja-kerja busuk pada tahun 2004 dahulu melibatkan Scomi, sebuah syarikat milik anak lelaki Abdullah bernama Kamaludin yang didakwa terlibat dengan membekalkan teknologi dwi-guna untuk program pembikinan senjata nuklear Libya.
Bukhary Syed Abu Tahir, adalah seorang warga Sri Lanka berstatus Penduduk Tetap di Malaysia. Beliau menganggotai Lembaga Pengarah anak syarikat Scomi bernama Kaspadu. Bukhary telah merundingkan satu kontrak yang penuh kontroversi di mana Scomi Precision Engineering membina komponen serombong untuk digunakan oleh program nuklear Libya. Sejak itu Scomi memang telah memperakukan betapa anak syarikatnya, Scomi Precision telah mematuhi satu kontrak yang dirundingkan oleh Bukhary untuk membekalkan peralatan mesin kepada Libya.
Dokumen yang diperolehi oleh Associated Press mendedahkan betapa Bukhary adalah Ketua Pegawai Kewangan kepada pakar nuklear Pakistan Abdul Qadeer Khan yang mempunyai jaringan pembiakan projek nuklear. Bagaimana beliau berjaya menjalinkan satu pakatan yang sungguh perkasa dengan kumpulan elit politik Malaysia adalah satu tandatanya yang masih tidak berjawab. Apabila skandal ini terdedah, Abdullah berkata bahawa Tahir akan tetap bebas kerana tidak ada bukti akan salah laku beliau.
Beberapa bulan kemudian, pada Mei 2004, Bukhary telah ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Malaysia (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa had dan tanpa perbicaraan. Pemimpin pembangkang telah (ketika itu) menuduh Abdullah sengaja menahan Tahir mengikut ISA dan bukan mengikut prosedur hukum-hakam jenayah biasa, untuk melindungi Kamaludin. Kini, di mana Bukhary berada masih menjadi satu tandatanya.
Amir Izyanias, Penolong Setiausaha kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang disokong oleh kerajaan, berkata bahawa kakitangan beliau pernah menghubungi Bukhary pada 23 Julai di Pusat Tahanan Kamunting Perak, di mana ramai tahanan ISA sedang ditahan. Namun, seorang pegawai Jabatan Pembangunan Islam berkata Bukhary bukan pun tercatat dalam senarai orang yang ditahan.
Demikianlah kisah yang muncul selepas satu siasatan bebas 2005 dahulu berkenaan skandal Minyak-untuk-Makanan yang berlaku di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, di Iraq. Kisah itu telah membersihkan nama Abdullah tetapi telah mempalitkan nama dua orang ahli keluarganya. Ipar Abdullah Noor Assha Mahmood Ambak dan bekas suami beliau Faek Ahmad Sareef telah didapati bersalah membayar wang sogok bernilai US10 juta melalui syarikat mereka bernama Mastek. Wang bernilai itu merupakan salah satu pembayaran yang terbesar di kalangan lebih 2,200 syarikat yang terpalit dalam skandal tersebut.
Kumpulan Kajiselidik Iraq (Iraq Survey Group) yang ditubuhkan oleh AS untuk menyiasat senjata di Iraq, telah menyenaraikan nama “Abdullah Badawi” sebagai salah seorang penerima program Oil for Food yang penuh skandal itu, tetapi tidak pula menjelaskan itu adalah nama Perdana Menteri Malaysia sekarang. Abdullah pernah mengaku menolong peniaga Malaysia mengambil bahagian dalam program pertukaran minyak untuk makanan tajaan PBB. Tetapi pada waktu yang sama ketika tuduhan itu timbul dia berkata tidak pun terbabit secara peribadi. Dia cuma menulis beberapa surat sokongan dalam usaha peniaga Malaysia menyertai program tersebut, dan selepas itu tidak tahu-menahu apa yang berlaku kepada bidaan mereka semuanya.
Diplomasi Pelbagai
Sudah tentu tidak ada satu pun skandal itu yang diperkenan oleh negara. Namun ia muncul secara jelas ketika kumpulan elitis yang berkuasa di Malaysia menunjukkan penentangan terhadap perubahan demokrasi, kerajaan yang bersih dan perkembangan budaya, sambil memperkasakan hubungan dengan negara bukan-demokratik seperti Iran, Sudan dan Russia.
Memang jelas betapa semua itu adalah sebahagian anjakan besar dalam dasar luar negara, di mana Menteri Luar, Syed Hamid Albar pernah berkata pada bulan Mei lalu betapa anjakan itu akan membantu Malaysia “mengelak daripada menjadi terlalu bergantung kepada satu segmen yang tertentu dalam ekonomi global. “Ini ditafsirkan oleh segelintir orang sebagai merujuk kepada AS, yang pada masa ini menerima hampir 16% pengeksportan Malaysia.
Anak menantu lelaki Abdullah yang bernama Khairy Jamaludin telah mencuba pada bulan ini mengaibkan seorang pemimpin pembangkang dengan melabel beliau sebagai “boneka Amerika Syarikat dan Yahudi.” Sementara itu Ketua Penerangan Abdullah dan golongan elit UMNO baru-baru ini bertindak mengancam pengendali blog dan pengendali laman web kerana mendedahkan gelagat korupsi di kalangan pemimpin tinggi kerajaan. Sementara itu mahkamah Malaysia telah mengeluarkan interpretasi perundangan Islamik baru-baru ini dengan menafikan beberapa orang penganut Islam hak untuk menukar agama mereka.
Menteri Luar Syed Hamid baru-baru ini telah mencemuh sebuah laporan Jabatan Negara AS yang menyebut kegagalan Malaysia “menunjukkan kemajuan dalam melawan kegiatan jual beli manusia’. Pada waktu lain, Syed Hamid juga pernah berkata bahawa Malaysia dan Iran mempunyai “pandangan yang sama” mengenai pelbagai isu global, termasuk hak Iran membangunkan program nuklear untuk keamanan.
Kuala Lumpur juga memainkan peranan utama untuk merangkum Iran ke dalam ekonomi Asian ketika Washington sedang cuba meminggirkan negara itu daripada sudut ekonominya. Tahun lalu Syed Hamid mendesak anggota keahlian OIC memahami dasar Iran, dan menyetujui pengiriman senjata kepada Hezbollah.
Yang pasti, demikianlah perjalanan politik. Di sebalik lanskap politik Malaysia yang diwarnai isu etnik, pemimpin politik UMNO memang mudah lentok kepada sentimen keIslaman, sambil bekerjasama dengan AS dan Barat di sebalik tabir. Malahan semasa bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mencengkam kuasa, beliau telah melalak lantang tentang neo-kolonialisme pimpinan AS dan kisah perlindungan kedaulatan Malaysia, tetapi dia juga pada waktu yang sama menjalin hubungan ketenteraan yang akrab dengan AS.
Sebagai contoh, kedua-dua pihak telah mempersetujui satu perjanjian yang membenarkan kapal tentera laut AS sanggah di pelabuhan Malaysia untuk senggaraan dan perbekalan. Kontrak itu telah diperbaharui dan terkini pada 2005, semasa awal pemerintahan Abdullah. Setiap tahun, pasukan gerak khas AS (US Special Forces) berlatih di sekolah peperangan dalam hutan Malaysia dan kerjasama dua hala pihak tentera kedua-dua negara terus berkembang. Pentadbiran Presiden George Bush telah memuji usaha Malaysia dalam memerangi keganasan
Aduan Yang Bercampur Baur.
Namun demikian ada pihak tertentu yang semakin curiga dengan peranan geopolitik Malaysia.
”Pihak kerajaan UK sudah menjadi semakin berwaspada bila berurusan dengan pucuk kepimpinan Malaysia,” kata Alexander Neill, Ketua Program Keselamatan di ‘Royal United Services Institute for Defence anda Security Studies’ yang berpangkalan di London. Beliau menyebut betapa dalam sebuah kenyataan berbaur keIslaman oleh pegawai kanan Malaysia, “merupakan satu masalah kepada dasar melawan keganasan.”
Memang wujud perbezaan geopolitik yang lain. Sebagai contoh, ketika kerajaan AS dan negara barat yang lain, merungut tentang kisah pembunuhan di Sudan, Malaysia telah membuat pelaburan yang besar dalam sumber petroleum negara tersebut. Abdullah juga telah memeterai hubungan ketenteraan dan bahan tenaga dengan Russia semasa membuat lawatan ke sana pada Jun dahulu, dan ini adalah mengikut laporan Setiausaha Politik Menteri Luar Ahmad Shabery Cheek. Ada pihak yang membuat andaian bahawa gelagat itu adalah bertujuan untuk mengimbangi hubungan rapat ekonomi dan ketenteraan yang dikongsi oleh AS dengan jiran Malaysia dan saingannya Singapura. Ahmad telah menafikan bahawa Malaysia ada berkemungkinan mahu menjadi proksi kepada pengaruh Russia di rantau Asia Tenggara.
Kalau AS berusaha mendapatkan persetujuan masyarakat antarabangsa untuk mendinginkan nafsu Iran meneruskan program senjata nuklearnya, Malaysia pula baru-baru ini telah memperteguhkan hubungan dengan Republik Islam itu, termasuk perundingan terbaru melibatkan minyak bernilai $16 bilion dollar. Malaysia juga sedang membina satu saluran paip minyak bernilai $7 bilion yang merentangi utara Malaysia, dan mengikut penganalis industri minyak, akan membantu Teheran menyalurkan lebih banyak minyak ke Asia Timur. Khabarnya National Iranian Oil mempunyai 30% kepentingan dalam satu projek usahasama, tetapi setakat ini kerajaan Malaysia gagal mendedahkan perincian khusus mengenai perjanjian tersebut.
Segala perjanjian yang kabur ini tentunya mencetuskan kekalutan di Washington. James Keith, calon duta AS ke Malaysia, yang dijangka memulakan tugas di Kuala Lumpur bulan depan, berkata semasa sesi penyetujuan pelantikan beliau oleh Dewan Senat pada Mei dahulu betapa dia akan “menekankan bahawasanya kita begitu kuat menentang sebarang urusan dagang dengan Iran.”
Beliau juga menyebut perihal hubungan pelaburan “yang memberikan ruang besar untuk perkembangan seterusnya” dan dia akan terus menggalakkan usaha itu, termasuk kerjasama ketenteraan dan keselamatan Dia telah menekankan, “adalah penting… untuk pasukan negara saya dan juga saya bercakap secara terus-terang mengenai komitmen kita kepada nilai fundamental, termasuk mereka yang terlibat dengan Pengisytirahan PBB mengenai Hak Asasi Manusia.”
Pegawai kedutaan dan keselamatan AS di sini menolak membuat sebarang komen tentang cara berlakunya pelbagai kelemahan keselamatan yang melibatkan Malaysia dan betapa ia menjejaskan hubungan dua hala dan apakah langkah jika ada yang diambil untuk menghalang berlakunya salah faham sebegitu pada masa hadapan. Pada tahun lalu, kedua-dua pihak telah menandatangani satu perjanjian mengenai bantuan perundangan yang merangkumi pelbagai bidang jenayah, termasuk perkongsian bahan bukti dan kesaksian, walaupun masih samar-samar lagi hingga kini apakah perjanjian itu telah pun diperakui oleh Malaysia.
Akan tetapi, seperti yang diperjelaskan oleh Koh, ini tidak menyelesaikan kenyataan yang didedahkan kepada sidang akhbar Jabatan Negara AS yang telah mendengar satu rakaman rahsia perbualan betapa alat ganti pesawat juang AS, telah dihantar secara kerap ke Malaysia untuk dieksport kembali ke Iran. Para penganalis keselamatan berkata salah satu sebab pembiakan senjata berpusat di Malaysia ialah kerana Malaysia tidak memiliki undang-undang khusus tentang kawalan pengeksportan. Mengikut ‘International Institute for Strategic Studies,’ “Malaysia cuma menyenaraikan bahan-bahan radioaktif dan nuklear, barangan dan peralatan radiasi’ untuk kawalan dan bukannya barangan untuk dwi-gunaan.”
Malaysia tidak pun mempunyai sistem pengesahan untuk menentukan bahawa barangan yang dieksport adalah untuk kegunaan seperti yang disebut ataupun memang sebenarnya dihantar kepada pengguna terakhir yang telah diisytiharkannya. Pegawai-pegawai polis, Kementerian Pertahanan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa tidak pun memberikan respons mereka kepada permohonan Asia Times Online untuk membincangkan bagaimana kerajaan bertindak untuk memperbetulkan segala kepincangan dalam kawalan itu. Selagi lubang-lubang itu tidak ditutup, hubungan AS-Malaysia akan terus diwarnai oleh keraguan pada kedua-dua belah pihak.
Thursday, August 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment