Thursday, August 30, 2007

JANGAN RAMPAS HAK PEKERJA UNTUK BERPERSATUAN

Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2007 didebatkan dalam Dewan Rakyat semalam merupakan tanda kerajaan tidak menghargai sumbangan kaum pekerja dan kesatuan pekerja terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan negara, demikian dikatakan oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan – Permatang Pauh). Wan Azizah telah menyertai debat hangat dalam Dewan Rakyat petang tadi berkata bahawa, tanpa titik peluh pekerja, sektor perusahaan dan pertanian tidak akan berkembang dan berjaya menawan perhatian pelabur-pelabur asing.

"Saya sedih kerana kaum pekerja yang bertungkus-lumus menjayakan "Projek Malaysia" bukan sahaja tidak dihargai, malah hak-hak asasi pekerja semakin merosot.

"Saya juga sedih kerana, selepas hari ini, hak berpersatuan kaum pekerja akan lebih merosot."

Ahli Parlimen Permatang Pauh yang jelas menentang pemindaaan Akta Kesatuan Sekerja ini menegaskan bahawa hak untuk berpersatuan merupakan hak asas seseorang pekerja.

"Apa yang sepatutnya dipinda dalam Akta Kesatuan Sekerja (1959) bukan apa yang dihadapan kita, tetapi penambahan jaminan hak dan kebebasan untuk berpersatuan.

"Kalau kita melihat kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 10 - hak rakyat untuk bergabung dan menyertai persatuan - adalah jelas Rang Undang-undang ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan."

Wan Azizah mengingatkan pihak Kementerian Sumber Manusia bahawa sesuatu akta yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, mengikut Artikel 4 (1), boleh dibatalkan.

Beliau turut mengingatkan semua ahli parlimen bahawa selagi Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab mengambil tindakan yang pro-hak asasi manusia, termasuk kaum pekerja di Malaysia.

Beliau juga membentangkan dalam Dewan Rakyat dalam ucapannya, tuntutan kaum pekerja yang sedang menuntut hak mendapat gaji minima RM 900 sebulan dan elaun sara hidup yang berjumlah RM 300.

"Kita harus mengiktirafkan sumbangan kaum pekerja dan kesatuan pekerja yang telah mengorbankan segalanya bagi menjayakan projek perindustrian Malaysia, sehingga Negara kita digelar sebagai 'Asian Tigers' (harimau Asia).

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyatakan rasa kecewa terhadap Ahli Parlimen Barisan Nasional kerana menghalang wakil-wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia untuk memasuki Dewan Parlimen semalam.

"Apakah wajar menghalang wakil-wakil pekerja untuk memasuki Dewan Parlimen apabila undang-undang ini mempunyai kesan langsung ke atas mereka?"

No comments: