Tuesday, February 13, 2007

GOLONGAN KAFIR MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN

Syeikh Sya'rawi berkata: Allah s.w.t. berkata kepada golongan yang dikurniakan kitab sebelum Rasulullah. “Apa yang mereka kenali? Adakah mereka mengenali perkara urusan pertukaran kiblat?Atau mereka mengenali hal berkenaan Rasulullah s.a.w., kebangkitannya dan kerasulannya yang mereka cuba untuk mengesyakinya?” Allah s.w.t. mensyarahkan kepada kita sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 89 yang bermaksud: Dan tatkala datang kepada mereka kitab Allah (al-Quran) yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa kitab itu).Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan al-Quran), mereka mengingkarinya, maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.Seterusnya firman Allah s.w.t., Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu , sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu. (Al-Baqarah: 146-147)Firman Allah s.w.t.: Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) ganti nama pada mengenalinya terbahagi kepada dua pendapat:1. Kembali kepada Nabi s.a.w.. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas.2. Kembali kepada berpalingnya kearah kiblat. Inilah pendapat Abu al-‘Aliyah, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil.Sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Imam al-Nasafi menaqalkan kenyataan Abdullah bin Salam, sesungguhnya aku mengenali Muhammad lebih daripada aku mengenali anakku, lantas Umar bertanya kenapa? Jawabnya: Aku tidak syak pada Muhammad berkenaan kenabiannya, sedangkan boleh jadi anakku, ibunya mengkhianati, lantas Umar mengucup kepalanya.Sayid Qutb berkata: Mengetahui sesuatu seperti mereka mengetahui anak-anak mereka sendiri itu merupakan satu contoh perbandingan mengikut bahasa Arab yang menunjukkan keyakinan yang tidak ada sebarang kesamaran lagi.Jika kaum ahli kitab itu yakin terhadap kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. termasuklah keterangan baginda mengenai kiblat, sedangkan sebahagian mereka sengaja menyembunyikan kebenaran yang diketahui mereka dengan penuh keyakinan itu. Maka tidak ada sebab bagi orang-orang Mukmin itu terpengaruh kepada pendapat-pendapat yang karut dan dusta yang disebarkan oleh ahli kitab itu.Tidak ada sebab bagi orang Mukmin untuk mengambil daripada ahli kitab yang mempercayai kebenaran kemudian menyembunyikan sesuatu daripada urusan agama mereka yang dibawa oleh Rasul mereka yang benar dan amanah.Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). Kerana mereka menyembunyikan hakikat kenabian Muhammad s.a.w. dan juga perkara berkenaan Kaabah seperti kata al-Baghawi. Sedangkan al-Samarqandi pula berkata: Segala yang terkandung di dalam kitab mereka, mereka sembunyikan.Sebenarnya medan pertempuran antara kebenaran dan kebatilan akan berakhir dengan hancurnya kebatilan dengan begitu mudah dan cepat. Akan tetapi yang menjadi panjang ialah pertempuran antara dua kebatilan.Justeru sesungguhnya medan peperangan pada zaman moden ini akan berpanjangan dan memenatkan. Contohnya Perang Dunia Kedua, kesan-kesannya berpanjangan hingga kini yang dinamakan sebagai Perang Dingin. Begitu juga dengan peperangan kecil.Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah bagaimana perlunya seseorang mengekang hawa nafsunya seperti riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus yang bermaksud: Tidak beriman seseorang kamu dengan sempurna sehingga jadilah hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.Firman Allah: Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad). Syeikh Sya'rawi berkata, kebenaran hanya datang daripada Allah s.w.t.. Selama mana daripada Allah tidak harus seseorang merasa ragu dan syak. Antaranya kebenaran pasti menang dan Allah yang hak pasti menolong dan memperkuatkan kebenaran. Benarlah kata penyair: Pedang boleh dihiasi dengan permata, dan tiadalah berfungsi kecuali terletak pada tangan pahlawan.Justeru apa faedah bersamamu pedang yang berkilau tanpa adanya tangan yang kuat yang boleh menggunakannya. Itulah hakikat kita yang mengabaikan kebenaran kerana kita tidak mempunyai kekuatan. Adalah datangnya daripada Tuhanmu.Oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu. Sayyid Qutb berkata: Tetapi cara firman ini ditujukan kepada beliau adalah mengandungi satu saranan yang kuat untuk diingati kaum Muslimin dibelakang beliau sama ada mereka di waktu itu terpengaruh kepada pendapat-pendapat palsu kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka atau mereka yang datang selepas kaum Muslimin (zaman Rasulullah) yang terpengaruh dengan pendapat-pendapat palsu kaum Yahudi atau bukan Yahudi mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan agama mereka.Antara pengajaran ayat:1. Ahli kitab mengenali Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana mereka mengenali anak mereka. Justeru wajib bagi kita umat Islam mengenali dan mengkaji sirah Nabi s.a.w. lebih daripada mereka.Rujuklah kitab-kitab yang muktabar seperti al-Syamail Muhammadiyah dan lain-lain.2. Haram menyembunyikan kebenaran jika mengetahui bahkan ia dilaknat oleh Allah.Kebenaran hendaklah dijunjung dan didaulatkan sehingga Allah menjadikannya salah satu daripada sifat wajib bagi Rasulullah s.a.w..3 Kebenaran yang hakiki datangnya daripada Allah. Oleh itu, sumber yang paling sahih dan paling benar adalah kitab Allah. Mengkaji dan meneliti berpandukan kepada segala ilmu yang boleh mencapai kepada makrifatnya adalah penting.4. Kebatilan berkesudahan dengan kehancuran seperti yang difirmankan oleh Allah, sebaliknya kebenaran akan diserlahkan. Inilah sunnatullah kepada Nabi-nabi dan Rasulnya

No comments: