Sunday, June 3, 2007

NIKMAT SABAR

Rahsia dan Nikmat disebalik erti "SABAR"
MAKSUD "sabar" dalam konteks amalan batin ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak-selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.
Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:
* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang/teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.
Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.
Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya. Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu ialah:
Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya. Jika tidak bersabar, tekanan dan ekoran daripada pelbagai kesukaran atau daripada padah pelbagai musibah menjadikan kita keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.
Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat).
Antara firman Allah Taala tentang hal ini ialah: "Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi pertunjuk dengan perintah kami ketika mereka bersabar". (QS. 32:24); "Mereka itulah orang-orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya (syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)". (QS. 25:75); "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas". (QS. 39:10);
Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya (mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka). (QS. 3:200).
Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut di atas, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar. Orang itu tidak akan terjatuh ke jurang maksiat.
Saiyidina Ali Abu Talib k.a.w pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.
DALAM konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibah atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibah itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.
Sebagai perbandingan tentang hakikat musibah itu, kita katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya memakan sejenis makanan yang amat digemari oleh anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu memaksa anaknya memakan makanan biasa daripada bahan yang murah, walaupun dia cukup mampu membeli makanan istimewa yang menjadi kegemaran anaknya itu. Apakah penerimaan atau reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?
Dan apakah kata kita terhadap sang bapa itu? Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa itu kedekut, bakhil,tidak bertimbang rasa dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus menuduh sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa tujuan dia bertindak demikian. Kita harus mencari sebab-musababnya.
Inilah tindakan wajar orang yang bersabar. Demikianlah antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau musibah yang ditakdirkan oleh Allah Taala ke atas diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan syaitan, kerana kita tidak tahu rahsia hakikat dan hikmat di sebalik takdir itu.
Bandingannya, katakan kita tahu, tujuan sang bapa tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu sedang mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor, sang anak itu akan menghadapi bahaya apabila memakan makanan kegemarannya itu.
Sekarang apa kata kita? Tidakkah tuduhan-tuduhan terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya? Dan, sang anak itu pula, apa bila mengetahui tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi bapanya atau berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu? Sekarang tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu adalah seorang bapa yang bertanggungjawab dan anaknya pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya yang demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu ke hospital, lalu ditahan di wad hospital itu. Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital, terpaksa berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu dia terpaksa minum dan menelan ubat-ubat yang pahit dan disuntik. Rawatan seterunya ialah pembedahan.
Pada zahirnya, sang anak itu menderita terseksa, tetapi apabila diyakini, bahawa 'seksaan' itu adalah untuk menyelamatkannya daripada ancaman dan seksaan sebenar yang berpanjangan daripada penyakit yang dihidapinya itu, maka 'seksaan' sementara itu seharusnya diterima dengan hati terbuka, penuh rela, tenang, dan sabar.
Demikianlah semestinya penerimaan kita terhadap musibah atau ujian daripada Allah Taala. Sebenarnya penyakit itu sendiri merupakan suatu cubaan atau musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana dan bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.
Dan, kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit itu. Kalau penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmat dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada yang baik ataupun yang buruk, kita tidak tahu.
Sebab itu kita perlu bersabar menerima dan menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan, penuh kesabaran; di samping berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai manusia, hamba Allah.
Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian. Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.
Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarab. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan. Wallahu a'lam.

MENGAPA ISLAM MENJADI PILIHAN

MENGAPA ISLAM MENJADI PILIHAN
Islam merupakan manhaj ketuhanan yang diturunkan kepada Nabi Besar Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam supaya diamal dan disampaikan kepada seluruh umat manusia. Ia merupakan pemandu umat ke jalan kebahagiaan dan ia juga merupakan risalah yang terakhir yang diturun oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia sejagat.
Manhaj ini datang dari ALlah, sama ada Al-Qur’an yang diwahyukan dengan lafaz dan maknanya mahupun hadith yang diilhamkan maknanya kepada RasuluLlah Sa’laLlahu ‘Alaihi Wasallam. Dengan yang demikian ternyata bahawa manhaj ketuhanan ini ialah Al-Qur’anul Karim dan hadith Nabi yang sah. Manhaj ini tentulah berbeza dari apa-apa manhaj dan dasar yang diciptakan oleh manusia dengan sifat-sifat berikut:
Manhaj ALlah sahaja yang benar (hak), tidak didatangi sebarang kebathilan. Bahawasanya manhaj ketuhanan itu adalah manhaj yang sempurna yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia Sesungguhnya manhaj ketuhanan itu adalah suatu manhaj yang terang, yang senang difahami dan di’amali Manhaj ketuhanan adalah suatu manhaj yang diturunkan dan diwujudkan untuk seluruh manusia, bukan hanya untuk orang-orang ‘Arab atau Melayu sahaja Manhaj ketuhanan ini ialah suatu manhaj yang menjadi penyuluh dan penawar kepada manusia. Sesungguhnya manhaj ketuhanan ini diturunkan kepada Nabi SallaLlahu’Alaihi Wasallam untuk disampaikan secara kesemuanya kepada manusia Sunnah Nabi SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam adalah merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dari manhaj ketuhanan
1. Manhaj ALlah sahaja yang benar (hak),tidak didatangi sebarang kebathilan. Firman ALlah Subhanahu wa Ta’ala : Maksudnya:" Dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu itu sahqja yang haq." (Ar-Ra’d : 1) Ini bermakna bahawa manhaj ketuhanan yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadith nabi itu sahaja-lah manhaj yang benar di mana setiap manusia sama ada dia sebagai seorang biasa atau sebagai pemerintah mestilah menerima dan mengamalkan apa-apa yang terkandung di dalam manhaj itu. Sekiranya mereka tidak menerima dan mengamalkannya mereka adalah sesat dan seterusnya gagal dalam menyelesaikan masalah ummah. Firman ALlah Subhanahu wa Ta’ala : Maksudnya:"Apakah orang yang mengetahui bahawa apa-apa yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu itulah yang sebenar-benarnya sama dengan orang yang buta." (Ar-Ra’d: 19)
Dengan perkataan lain, tidak sama orang yang mengetahui kebenaran yang diturunkan kepada Nabi Besar Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam dengan orang buta, orang yang tidak mengetahui kebenaran itu RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : Maksudnya :"Aku tinggalkan kepada kamu (wahai umat Islam) dua perkara yang mana kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya itu, iaitu KitabuLlah dan Sunnahku" (Riwayat lmam Malik)
2. Bahawasanya manhaj ketuhanan itu adalah manhaj yang sempurna yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan ke atas kamu ni’matKu dan Aku redha bagi kamu Islam itu sebagai agama (dasar) dan pegangan hidupmu." (Al-Maidah : 3) Dalam ayat lain ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Dan telah sempurnalah wahyu Tuhanmu itu dari sudut kebenaran dan ke’adilan, tidak ada penukaran atau gantian kepada wahyu itu. ALlah Subhanahu wa Ta’ala itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-An’aam : 115) Firman ALlah Subhanahu wa Ta’ala lagi: Maksudnya:"Tidak ada sesuatu pun yang Kami abaikan di dalam kitab Al- Qur’an itu." (Al-An’aam : 38) Dari ayat-ayat yang kita baca di atas terbukti bahawa agama Islam itu adalah agama yang lengkap, menyeluruh, mencakupi segala ruang kehidupan manusia.
3. Sesungguhnya manhaj ketuhanan itu adalah suatu manhaj yang terang, yang senang difahami dan di’amali. ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Begitulah Kami mentafsirkan ayat-ayat Kami bagi kaum yang berfikir." (Yunus : 24) Dalam ayat yang lain pula ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Al- Qur’an itu merupakan suatu kitab yang diterangkan secara terperinci ayat-ayat dan tanda-tanda di dalam bahasa Arab, di mana keteraugan itu adalah untuk kaum yang mengetahui."(Fushshilat : 3) Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Dan sesungguhnya Kami datangkan kepada mereka itu sebuah kitab yang Kami terangkan secara terperinci berdasar kepada ilmu pengetahuan demi untuk memberi hidayah dan rahmat kepada kaum yang beriman." (M-A’raaf: 52) Dan firman ALlah Subhanahu wa Ta’ala: Maksudnya:"Begitulah seterusnya ALlah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan kepada kamu tanda kebesaranNya moga-moga kamu berfikir." (A’-Baqarah : 242) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Dan sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu tanda-tanda yang terang dan nyata, hanya orang fasiq sahaja yang ingkar dengan tanda-tanda yang terang itu." (Al-Baqarah : 99) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Dan Kami turunkan ke atas kamu Kitab (Al- Qur’an) untuk menerangkan segala sesuatu dan memberi rahmat serta berita gembira bagi sekelian muslim." (An-Nahl : 89)
4. Manhaj ketuhanan adalah suatu manhaj yang diturunkan dan diwujudkan untuk seluruh manusia, bukan hanya untuk orang-orang ‘Arab atau Melayu sahaja. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk manusia seluruhnya; memberi berita baik (bagi yang ta’at) dan berita yang tidak baik (bagi yang ingkar)." (Saba’: 28) Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Katakanlah olehmu (wahai Muhammad): "Wahai manusia ! Sesungguhnya aku ini adalah Rasul (Utusan ALlah) kepada kamu semua." (Al-A’raaf: 158) RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Maksudnya:"Aku diberi keistimewaan dan kelebihan dari Nabi-nabi yang lain sebanyak enam perkara. Aku diberi tutur kata yang mempunyai makna yang mendalam dan aku diberi pertolongan dengan sebab rasa gerun musuh semasa dia masih berada di tempat yang jaraknya sebulan berjalan kaki dan dihalalkan kepada aku harta-harta rampasan perang dan dijadikan bumi ini sebagai masjid dan bahan bersuci bagiku dan aku diutuskan kepada makhluq kesemuanya dan dengan aku berakhirlah sekelian Nabi-nabi." (Riwayat lima Imam kecuali Abu Dawud)
Dengan ini jelaslah bahawa Islam itu ialah agama bagi seluruh manusia tidak kira apa juga keturunannya, di mana juga mereka berada dan pada zaman mana pula mereka hidup, kerana ianya merupakan agama yang terakhir yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwa Ta’ala untuk mereka.
5. Manhaj ketuhanan ini ialah suatu manhaj yang menjadi penyuluh dan penawar kepada manusia. ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Dan Kami turunkan daripadaAl-Qur’an itu apa-apa yang menjadi penawar dan rahmat kepada sekelian mumin." (Al-Isra’: 82) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Katakanlah olehmu (wahai Muhammad): "Al- Qur’an itu menjadi petunjuk dan penawar kepada orang yang beriman." (Fushshilat: 44) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Maka berimanlah kamu kepadaALlah dan RasulNya dan kepada cahaya yang Kami turunkan." (At-Taghaabun : 8) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Wahai manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu tanda-tanda dan Tuhan kamu dan Kami turunkan kepada kamu cahaya yang terang benderang." (An-Nisaa’: 174) Dari ayat-ayat di atas nyatalah kepada kita bahawa Islam sebagai manhaj ketuhanan adalah diwujud-kan untuk menjadi penyuluh dan penawar kepada seluruh manusia dan tidak sekali-kali untuk memecahbelahkan masyarakat, apa lagi untuk memporak-peranda dan menghuru-harakan masyarakat.
6. Sesungguhnya manhaj ketuhanan ini diturunkan kepada Nabi SallaLlahu’Alaihi Wasallam untuk disampaikan secara kesemuanya kepada manusia. Firman ALlah Subhanahu wa Ta’ala: Maksudnya:"Wahai Rasul ! Sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu. Jika tidak kamu lakukan, maka tidakah kamu menyampaikan risalahNya" (Al-Maidah : 67) Firman ALlah Subhanahu wa Ta’ala lagi: Maksudnya:"Dan Kami turunkan kepada kamu peringatan (Al Qur’an) supaya kamu menerangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka" (An-Nahl : 44) Di sini ternyata Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam diminta supaya menyampaikan keseluruhan risalah Islam dan menerangkannya kepada manusia. Malah dituntuti supaya Nabi SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam melaksanakan segala hukum-hakam ke atas masyarakat manusia. ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Dan Kami turunkan kepada kamu (wahai Muhammad) Kitab Al- Qur’an itu dengan sebenarnya untuk kamu memerintah (memimpin) manusia dengan apa yang diperlihatkan oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala kepada kamu." (An-Nisaa’: 105)
Di dalam ayat yang lain pula ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Dan hendaklah kamu menghukum (memerintah) di kalangan mereka itu dengan apa yang diturunkan oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala kepada kamu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka itu." (M-Maidah 49) Ternyata bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala untuk dijadikan dasar hidup dan asas kepada pemerintahan negara.
7. Sunnah Nabi SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam adalah merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dari manhaj ketuhanan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Maksudnya:"Sesiapa yang menta’ati Rasul, maka dia telah menta’ati ALlah Subhanahu wa Ta’ala." (An-Nisaa’: 80) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Dan ta’atlah kamu kepada ALlah dan ta’atlah kamu kepada Rasul dan awas (berjaga-jagalah) kamu. Sesungguhnya jika sekiranya kamu berpaling tadah, maka ketahuilah bahawa tugas Rasul Kami adalak memberi penyampaian yang terang." (Al-Maidah : 92) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Katakanlah olehmu (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepadaALlah dan kepadaRasul. Jika sekiranya kamu berpaling tadah, maka sesungguhnya ALlah Subhanahu wa Ta’ala tidak suka kepada orang-orang kafir." (Al ‘Imran : 32) ALlah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi: Maksudnya:"Dan apa-apa yang dibawakan kepada kamu oleh Rasul hendaklah kamu menerimanya dan apa yang dilarang akan kamu oleh Rasul maka hendaklah kamu tinggalkannya." (Al-Hasyr: 7) RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallain bersabda: Maksudnya:"Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Mereka bertanya: "Siapakah yang enggan itu ya RasuluLlah? " Lantas RasuluLlah bersabda: "Siapa yang ta’at kepada aku masuk syurga dan siapa yang derhaka adalah dia orang yang ingkar (enggan)." (Riwayat Bukhari) Di dalam hadith yang lain pula RasuluLlah SallaLlahu ‘AlaIlii Wasallam bersabda: Maksudnya:"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak berasas kepada Sunnahku maka amalan itu ditolak (tidak diterima oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala)." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Ternyata bahawa dari apa yang disebut di atas, Al-Qur’an dan As-Sunnah merupakan manhaj ketuhanan yang tidak dapat ditinggalkan oleh umat manusia. Al-Qur’an merupakan asas kepada segala-galanya manakala As- Sunnah pula menambah atau menerangkan sesuatu yang tidak jelas di dalam Al-Qur’an itu. Kadang-kadang As-Sunnah membentangkan beberapa penerangan secara terperinci berhubung dengan perniagaan, pertanian, politik, pemerintahan, perundangan dan perkara perkara lain di dalam lapangan kehidupan manusia. Oleh kerana itu sekali lagi ditegaskan bahawa Al-Qur’an dan As Sunnah merupakan dasar kepada kehidupan manusia sama ada dibidang politik, ekonomi, perundangan, per’ibadatan, rumahtangga, budi pekerti dan lain-lain aspek kehidupan.
Justeru itu segala perkara yang tidak berasaskan kepada Al-Qur’an dan As- Sunnah adalah dikira-kan suatu dasar yang bathil, yang ditolak oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala dan ditolak oleh Rasulullah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam. Seterusnya semua harakah, pergerakan dan parti politik yang tidak berdasarkan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah serta tidak berusaha ke arah melaksanakan apa-apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah Nabi SaliaLlahu ‘Alaihi Wasallam adalah pergerakan yang bathil dan ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan RasulNya.

RAHSIA SEMBAHYANG 5 WAKTU BAH.2

Kisah rashia disebalik sembahyang 5 waktu (2)
Baginda Rasullullah S.A.W berkata: Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.
Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.
Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga.
Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."
"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."
Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.
Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."
Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.
Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan:
Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."
Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh org mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."
Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ke 7 tempat:
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah S.A.W : "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya :
1. Orang-orang yang mati syahid. 2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan. 3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Sekian untuk ingatan kita bersama.

RAHSIA SEMBAHYANG 5 WAKTU

Kisah rashia disebalik sembahyang 5 waktu
Ali bin Abi Talib r.a berkata : "Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata :
' Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.'
Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda: 'Silakan bertanya.'
Berkata orang Yahudi: 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'
Sabda Rasullullah S.A.W. : 'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhanNya, Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi, Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S., maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.
'Sembahyang Isya' itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku, Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.' Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.'
Rasullullah S.A.W bersabda: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan, sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukimin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'
Sabda Rasullullah S.A.W. lagi: 'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.' Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan, sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukimin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.
'Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Sembahyang Isya' (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isya' berjamaah, Allah S.W.T. haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.'
Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya: 'Sembahyang Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan iaitu:
1. Dibebaskan dari api neraka. 2. Dibebaskan dari nifaq.
Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'.
Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S. selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan ke atas keturunan Adam A.S. berlapar selama 30 hari.
Sementara izin makan diwaktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya.'
Kata orang Yahudi: 'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu.' Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T.
7 perkara:
1. Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram). 2. Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya. 3. Diberi oleh Allah sebaik-baik amal. 4. Dijauhkan dari merasa lapar dan haus. 5. Diringan baginya siksa kubur ( siksa yang sangat mengerikan). 6. Diberikan cahaya oleh Allah S.W.T. pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath. 7. Allah S.W.T. akan memberinya kemudian di syurga.
Kata orang Yahudi:'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi.'
Sabda Rasullullah S.A.W.:'Seorang nabi mengunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat).'
Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah).'
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah2an. Dan berilah berita gembira kepada orang2 yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

MALAIKAT JIBRIL DAN MIKAIL

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS
Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahwa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.
Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong.
Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.
Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.
Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap emapt, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.
Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."
Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."
Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."
Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."
Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."
Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."
Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."
"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

RUSUHAN 13 MEI

Rusuhan 13 Mei atau peristiwa 13 Mei
Generasi ketiga yang juga dikenali Gen-3 tidak melalui apa yang disebut sebagai Peristiwa 13 Mei atau yang lebih tepat dipanggil Rusuhan 13 Mei. Bagi generasi kedua atau Gen-2, peristiwa tersebut sepatutnya menjadi penanda aras masa depan negara ini selepas 12 tahun Merdeka, kerana ada buruk dan ada baiknya.Apa pun kajian dibuat atas rusuhan itu, ini tidak memberi apa-apa faedah kepada perkembangan generasi ke 4 dan seterusnya. Bagi menyalahkan setiap orang belum pasti ada kebenaran mahupun membenarkan sesuatu keadaan itu juga belum dipastikan betul.Sebenarnya tidak ada sebab untuk mendalami punca rusuhan tersebut. Yang pasti kerana kesilapan istilah yang menjadikan isu ini isu perkauman. Jika peringkat awal pihak berkuasa menggunakan istilah "rusuhan" dan bukannya "peristiwa" 13Mei 1969, kemungkinan besar, isu tersebut tidak membawa pengertian perkauman sebaliknya dia hanya sekadar satu isu politik ketika itu.Mencari punca akan berlaku rusuhan itu, tidak memerlukan kenyataan yang berbelit atau pun memerlukan penelitian khusus atas kertas-kertas rahsia sama ada dalam negeri atau pun sampai ke United Kingdom. Puncanya ialah mudah kerana Perikatan masa itu di bawah pimpinan Tunku Abd Rahman tidak menerima akan keputusan demokrasi akan kekalahan kerajaan dalam pilihan raya umum 1969.Disebabkan UMNO sebagai Parti teras, Perikatan sudah ditolak oleh rakyat bukan sahaja kawasan-kawasan para pengundi Cina yang menjadi majoriti tetapi juga kawasan Melayu 100%. Ini ditambah pula dengan kehilangan kuasa satu pertiga di Perak dan Selangor serta kekalahan di Kelantan dan Pulau Pinang. UMNO lah yang menggunakan sentimen Melayu bagi membakar perasaan rakyat, dan sentimen hanya laku di Penang, Perak, Selangor dan sedikit di Negeri Sembilan dan Johor tetapi tidak melibatkan negeri di Pantai Timur.Ketegangan itu berpunca dari kelewatan penubuhan kerajaan negeri dan persekutuan walaupun keputusan PRU sudah muktamad pada 11hb Mei 1969, kerajaan negeri masih belum lagi wujud termasuk penubuhan kerajaan Persekutuan. Sementara itu YTM Tunku Abd Rahman Putra sendiri telah menghadap Yang Dipertuan Agong pada 14hb Mei 1969 dan hanya memohon mengisytiharkan Perintah Darurat dan tidak menubuhkan kerajaan. Kesimpulannya dalam sejarah Malaysia hanya PRU 1969 satu kerajaan ditubuhkan atas bidang kuasa Yang Dipertuan Agong mengikut Perlembagaan dalam bidang kuasanya. Peristiwa itu memberi contoh bahawa Yang Dipertuan Agong mempunyai bidang kuasa untuk melantik sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri termasuk seorang Pengarah bagi satu kerajaan darurat yang dipanggil Majlis Gerakan Negara.Sekiranya YTM Tunku Abd Rahman dengan segera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 11hb Mei 1969 dan juga Menteri Besar Perak dan Selangor yang mempunyai “simple” majoriti dalam Dewan Negeri, kemungkinan besar Rusuhan 13Mei boleh dielakkan. Tetapi atas kelemahan dan juga terlepas pandang akan perkara itu, maka sebilangan besar rakyat tidak berdosa telah membayar dengan darah dan nyawa.Mereka-mereka yang berminat dalam sejarah dan juga hendak menyiasat punca yang menyebabkannya rusuhan 13Mei. Siasatan mestilah juga melihat dari segi perspektif perpaduan kaum di Malaysia. Sebenarnya tidak timbul isu perkauman apa yang menyebabkan rusuhan 13Mei itu dan jika dikatakan Tun Razak Hussein yang merancang peristiwa tersebut bagi merampas kuasa, itu adalah satu kajian berdasarkan kepada "pendengaran" sahaja sebaliknya jika mahu disalahkan mungkin kesalahan boleh diletakkan ke atas "polis" pada masa itu.Kenapa tidak? Sekiranya Polis tidak mengambil tindakan mengejar orang menconteng di jalan raya di Kepong dan kemudian polis diserang sehingga menyebabkan terbunuh salah seorang dari mereka, sudah pasti tidak akan ada perarakan mayat. Sejarah membuktikan bahawa antara orang yang berjuang untuk perarakan mayat itu adalah Syed Hamid Bin Syed Ali yang juga Presiden Persatuan Penuntut Universiti Malaya. Maka bererti perarakan mayat itu bukan mesti dilihat atas sifat perkauman sebaliknya atas sifat tindakan polis menembak mati seorang yang menconteng di jalan raya dan kemudian diburu untuk penangkapan, itu betul atau tidak?Begitu juga dalam soal Parti Gerakan Rakyat Malaysia - PGRM, ia juga bukan parti yang diasaskan kerana perkauman sebaliknya ada berapa orang Melayu yang menyertainya dan termasuk yang menang bertanding atas tiket PGRM. Maka jika dilihat keseluruhannya ,apa parti pun sama ada Democratic Action Part i- DAP dan Progresif People Parti - PPP mereka tidak merangsang soal-soal isu perkauman dalam masa PRU 1969 sebalik parti-parti itu membangkitkan isu-isu yang menyentuh kepada semua golongan rakyat yang ditindas dalam sistem kapitalis menjadi pegangan UMNO masa itu dan sehingga hari ini.Rusuhan 13Mei bagi generasi ketiga dan seterusnya mestilah dilihat dari sudut pandangan yang berbeza. Insiden rusuhan itu juga membawa implikasi ke arah penyatuan bangsa Malaysia. Ia mestilah melihat pada masa rakyat dalam kebodohan, mereka boleh berfikir panjang. Mereka menggunakan hak mereka, untuk membuat keputusan yang menguntungkan generasi mereka. Sebilangan mereka menolak parti Perikatan dalam PRU itu. Walau hari ini Perikatan telah berubah ke Barisan Nasional tetapi banyak perjuangan memperkukuhkan perpaduan kaum oleh bangsa Malaysia telah berjaya, termasuk kepada soal kepentingan orang Melayu.Ini memberikan gambaran, yang membawa isu perkauman sempit adalah UMNO itu sendiri. Mereka ketakutan akan kehilangan kuasa dalam masa sama dia cuba membina UMNO sebagai satu entiti berjuang untuk Melayu tetapi bilangan Melayu yang berkhianat kepada Melayu banyak terdapat dikalangkan orang yang memakai lencana UMNO.Semenjak UMNO dipimpin oleh dua orang anak Ahmad, seorang sebagai Presiden UMNO bernama Abdullah Hj Ahmad dan seorang sebagai Setiausaha Agong bernama Radzi Seikh Ahmad, dan kedua Ahmad mempunyai latar belakang agama Islam yang agak baik jika bandingan dengan yang lain, tetapi kedua anak mereka yang memimpin UMNO berlawanan dengan ajaran Islam itu sendiri.Bila Abdullah Hj Ahmad menyamakan dirinya dan keluarganya dengan YTM Tunku Abd Rahman Putra menjual harta benda seperti rumah dan tanah, dia mengatakan dia juga begitu, ada harta bapaknya terjual kerana UMNO. Tunku Abd Rahman Putra meninggal dunia tanpa meninggalkan harta, dia tidak menggunakan jawatan Perdana Menterinya untuk menebus harta yang digadaikan untuk UMNO dan tidak menggunakan UMNO untuk mencari kekayaan dirinya atau anak dan menantunya. Sebaliknya Abdullah Hj Ahmad, atas sumbangan bapaknya menjual harta untuk UMNO sekarang ditebus dengan memberikan kepada anak dan menantu perniagaan dan kontrak lebih dari yang dikorbankannya. Maka sewajarnya tidak perlu berucap di mana-mana untuk menceritakan perihal penjualan tanah bendang untuk UMNO itu, rakyat telah menebusnya dengan memberi anaknya Kamalludin dan menantunya Khairy bermacam-macam perniagaan walaupun tidak ada kerelaan.Begitu juga Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, khabarnya sudah berkata dengan orang yang bertanya, kenapa dia tidak mengindahkan arahan Najib Tun Razak dalam soal kelulusan pekerja asing. Jawapan bahawa dia tidak bekerja dengan Najib Tun Razak, dia bekerja dengan Abdullah Hj Ahmad dan tambahnya dia tidak mahu menjadi Menteri jika Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Soalnya pekerja asing dan isu terlibat Radzi Sheikh Ahmad yang menggunakan proksi akan ditulis selengkapnya pada rencana akan datang. Bayangkan setiap pekerja asing terpaksa membayar wang rasuah... opppp bukan wang "goodwill" kepada orang tertentu sekurangnya RM1,000 (satu ribu) dan bayangkan kalau dua juta orang diluluskan, berapa jumlahnya wang tidak masuk dalam akuan kerajaan.Sang Kelembai: Masih ingat lagi peristiwa 13hb Mei di depan Jalan Raja Muda, Kampong Baru dan masih terbayang Dato Harun Idris berucap di atas bumbung Bas Sri Jaya. Pembohongan besar jika dikatakan pada petang itu tentera telah masuk ke Kuala Lumpur hanya selepas darurat diisytiharkan lalu RAMD membuat khemah di dua buah bulatan di Jalan Ipoh iaitu persimpangan Jalan Pekeliling dan Jalan Pahang persimpangan Jalan Tuanku Abd. Rahman. Elok rasanya kerajaan lepaskan rakaman filem rusuhan 13Mei yang tersimpan di Filem Negara Malaysia untuk tayangan umum... segalanya ada di situ.
# posted by SANG KELEMBAI@zaharin mohd yasin

MENGENALI IMAM SHAFIE

Mengenali Imam Syafie
Beliau ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Usman bin Syafie. Gelarannya ialah Abu Abdillah dan beliau berketurunan Quraisy. Nasab keturunan beliau bertemu dengan nasab Rasulullah saw. pada Abdul Muttalib. Imam Syafie adalah daripada keturunan Hasyim, bapa saudara Nabi saw.
Dilahirkan di Ghazzah (Semenanjung Gaza), di Palestin pada tahun 150H. Ayah beliau meninggal semasa beliau masih kecil dan ibunyalah yang menjaganya dan membawanya tinggal di Mekah. Imam Syafie pernah berkata: “Aku khatam menghafal al-Qur’an ketika berumur tujuh tahun dan hafal Muwattoa’ Imam Malik ketika berumur sepuluh tahun”. Beliau dikatakan mengkhatam al-Qur’an pada setiap hari. Dan dalam perjalanan untuk menuntut ilmu dari Mekah ke Madinah, beliau sempat khatam sebanyak enam belas kali.
Imam Syafie merupakan seorang ulamak yang menguasai pelbagai ilmu. Berkata al-Rabi’: Imam Syafie bila beliau bermunazarah dengan manusia, beliau akan bercakap mengikut kadar kefahaman mereka sahaja. Kalaulah beliau bercakap mengikut ketinggian ilmunya, maka mereka tidak akan memahaminya”. Beliau sangat mahir dalam kesusasteraan bahasa arab dan percakapannya dianggap sebagai hujah dalam bahasa. Berkata Ibnu Hisyam: Percakapan “Imam Syafie adalah hujah dalam bahasa”. Berkata al-Jahiz: “Aku banyak membaca penulisan-penulisan orang-orang yang hebat dalam ilmu, tetapi aku tidak dapati seorang pun yang lebih cantik penulisannya berbanding Imam Syafie. Perkataannya seolah-olah permata-permata yang diatur”. Imam Syafie mempalajari bahasa Arab dengan qabilah Huzail selama tujuh belas tahun dan kabilah Huzail adalah kabilah arab badwi yang sangat fasih.
Beliau juga merupakan pengasas ilmu Usul Fiqh. Kitabnya yang masyhur ialah ar-Risalah dan al-Um. Imam Syafie belajar mendalami bahasa Arab dan sejarah selama dua puluh tahun dan beliau berkata: “Tidak ada tujuan lain bagiku daripada pelajaran tersebut melainkan untuk membantu kefahaman (ilmu feqah)”. Beliau juga sangat mahir dalam tafsir. Berkata Yunus bin Abdul A’la: “Sesungguhnya Imam Syafie bila beliau menghuraikan tafsir, maka seolah-olah beliau juga berada ketika penurunan al-Qur’an”.
Imam Syafie sangat menyanjung para muhaddisin dan beliau pernah berkata: “Para muhaddisin adalah tetamu Allah”. Beliau juga berkata: “Bila aku melihat seorang ahli hadis, maka seolah-olah aku melihat seorang sahabat Nabi saw.”. Dan beliau juga merupakan salah seorang daripada mereka. Beliau berkata: “Aku dipanggil di Baghdad sebagai Nasirul Hadis (penegak hadis)”. Az-Zahabi berkata: “Imam Syafie adalah seorang penghafal hadis dan beliau juga orang yang mengenali selok belok ilmu hadis”. Imam Syafie pernah berkata: “Apabila hadis itu sohih, maka itulah mazhabku”. Beliau juga pernah berkata: “Setiap pendapatku yang mana berlawanan dengan hadis Nabi yang sohih, maka hadis Nabi lebih perlu diikuti, dan janganlah kamu taqlid kepadaku”.
Imam Syafie sangat bencikan ilmu Kalam. Beliau pernah berkata: “Kalaulah manusia tahu apa yang ada pada ilmu Kalam, nescaya mereka akan lari daripadanya seperti lari daripada singa”. Beliau juga berkata: “Seorang hamba yang dihadapkan di hadapan Allah (di hari qiamat) dengan semua dosa kecuali syirik adalah lebih baik daripada dihadapkan dengan ada di sisinya sebahagian ilmu Kalam”. Beliau juga berkata: Hukuman aku terhadap ahli ilmu Kalam ialah supaya mereka dipukul dengan pelepah dan diheret ke setiap suku dan kabilah dan dikatakan: “Inilah balasan orang yang meninggalkan Qur’an dan Sunnah”. Imam Syafie juga tidak suka berdebat dan beliau berkata: “Perdebatan dalam ilmu menimbulkan sikap keras hati dan dendam”.
Imam Syafie juga adalah seorang yang zuhud dan sangat taatkan ibunya. Beliau menceritakan bahawa setelah beliau pulang ke Mekah, Imam Malik telah memberikannya separuh daripada hartanya. Beliau juga membawa harta-hartanya yang diperolehinya dari Khurasan dan Mesir. Bila sampai di Mekah, ibunya datang menyambutnya dan memeluknya dan berkata: “Adakah kamu mahu pulang ke rumah dengan harta yang sebegini banyak? Sedangkan kamu keluar sebelum ini dalam keadaan miskin, adakah kamu mahu bermegah-megah dengan sepupu-sepupu kamu”? Akhirnya emaknya menyuruh untuk disedekahkan seluruh harta tersebut, dan Imam Syafie pun menyedekahkannya kepada para fakir miskin.
Imam Syafie juga mempunyai kelebihan dalam firasat. Ketika Imam Syafie duduk bersama dengan al-Humaidiyy dan Muhammad bin al-Hasan berfirasat, tiba-tiba lalu seorang lelaki. Lalu Imam Muhammad berkata: “Cuba kamu tengok orang ini”. Lalu Imam Syafie memerhatikan orang tersebut dan beliau tidak menjawabnya. Imam Muhammad bertanya: “Adakah kamu kesamaran terhadapnya”? Beliau menjawab: “Aku kesamaran samada dia adalah seorang tukang jahit ataupun dia seorang tukang kayu”. Lalu Imam al-Humaidiyy bangun dan pergi bertanyakan orang lelaki tersebut, dan lelaki tersebut menjawab: “Aku memang seorang tukang kayu, tetapi hari ini aku sudah mula bekerja sebagai tukang jahit”. Imam Syafie juga merupakan seorang pemanah yang hebat. Dalam sepuluh panahannya, tidak ada satu pun yang melencong daripada sasaran.
Sebenarnya terlalu banyak pujian ulamak terhadap Imam Syafie. Al-Husain bin Muhammad al-Karabiisiy berkata: “Aku tidak pernah lihat satu majlis ilmu yang lebih hebat daripada majlis Imam Syafie. Majlis beliau dihadiri oleh para muhaddisin, fuqaha dan juga penyair, dan kesemua mereka mendapat ilmu daripadanya”. Beliau juga berkata: “Aku tidak pernah jumpa orang yang setaraf dengan Imam Syafie dan beliau (Imam Syafie) juga tidak nampak orang yang setaraf dengannya”. Berkata Sa’lab: “Imam Syafie merupakan seorang Imam dalam ilmu bahasa”. Abi Abdillah Nuftuwaih berkata: “Perumpamaan Imam Syafie di kalangan para ulamak adalah seperti bulan purnama di kalangan bintang-bintang di langit”.
Antara guru Imam Syafie selain Imam Malik ialah mufti dan faqih Mekah iaitu Muslim bin Khalid az-Zanji, dan Syaikhul Muhaddisin Sufyan bin Uyaynah. Sufyan pernah berkata tentang Imam Syafie: “Dialah (Imam Syafie) sebaik-baik pemuda zamannya”. Antara muridnya pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal.
Imam Ahmad sangat menyayangi Imam Syafie. Beliau pernah berkata: “Sesungguhnya aku sentiasa berdoa di dalam solatku kepada Imam Syafie semenjak empat puluh tahun. Tidak ada seorang pun di kalangan fuqaha yang terlalu mengikut Hadis Nabi berbanding Imam Syafie”. Bilamana anak beliau bertanyakan kenapa beliau banyak berdoa kepada Imam Syafie, beliau menjawab: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia ini dan seperti afiat bagi badan, maka adakah lagi yang kamu nampak yang boleh menggantikan kedua-dua ini”?
Imam Syafie tidaklah berumur panjang, dan beliau meninggal di Mesir ketika berumur lima puluh empat tahun, iaitu pada tahun 204H. Bila ditanyakan Imam Ishaq bin Rahuwaih tentang bilakah Imam Syafie menulis buku-bukunya yang sangat bermutu itu, sedangkan umurnya hanyalah singkat, beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mempercepatkan akalnya kerana pendeknya umurnya”. Beliau meninggal pada hari jumaat di hujung bulan rejab dan dikebumikan pada hari tersebut sesudah solat asar.