Saturday, March 17, 2007

MENGAPA UMAT ISLAM TERUS TEWAS

MENGAPAKAH UMAT ISLAM TERUS TEWAS
Umum mengakui bahawa umat Islam hari ini terus tewas dan tertinggal dalam banyak lapangan. Mereka miskin di negara sendiri, bahkan ditindas oleh orang bukan Islam. Orang Islam dipandang rendah oleh bukan Islam.
Dalam Al Quran, tuhan telah menggariskan petunjuk untuk mereka mencapai kejayaan. Tetapi umat Islam sendiri tidak mengikutinya menyebabkan kita kehilangan sebab untuk Allah memberikan pertolongan.
1. Firman Allah: "Dan adalah hak kami memberi pertolongan kepada orang yang beriman" Ar Rum ayat 47. Hakikat yang wujud hari ini ialah orang Islam lemah iman dan tidak kukuh pegangan kepada Allah. Dengan itu tidak menjadi sebab bagi Allah membantu kecuali sebahagian dari mereka sahaja.
2. Firman Allah: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka" Ar Ra'ad ayat 11.Ayat ini merujuk kepada usaha yang diperlukan secara bersungguh-sungguh dan penuh dengan perancangan dan strategi untuk menjadi sebab bagi Allah memberikan pertolongan dan kejayaan. Apakah ada orang yang tidak menanam tetapi mendapat hasilnya?
3. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah akan menolong siapa yang membelaNya.”Al Hajj ayat 40 Allah menghendaki hambanya melakukan pengorbanan harta, tenaga, fikiran bahkan nyawa untuk menegakkan Islam. Keengganan umat Islam hari ini untuk berkorban telah menyebabkan mereka tidak mendapat pertolongan Allah. Mereka lebih sayangkan harta mereka untuk digenggam erat, masa mereka untuk mereka berehat, tidur dan bersenang-senang, berbual-bual, tidak mahu membantu pada tugas dijalan Allah dan sebagainya. Keadaan ini sama seperti firman Allah: “Bahawasanya yang ada jalan untuk dicela itu ialah orang-orang yang meminta diri menunjuk keberatan kepadamu, pada hal mereka itu mampu. Mereka senang duduk bersama orang yang tinggal di belakang (tidak berjihad) dan Allah telah mengunci hati mereka, maka mereka tidak mengetahui akibat perbuatan mereka.” At Taubah ayat 93
Kesimpulannya ternyatalah bahawa Allah akan hanya membantu umat Islam jika seandainya mereka teguh beriman, gigih berusaha dan sanggup pula berkorban harta, masa dan tenaga dalam kerja di jalan Allah. Perhatikan firman Allah:"Sesungguhnya telah kami tuliskan dalam kitab Zabur, sesudah peringatan, bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh" Al Anbiya' ayat 105. Jelaslah bahawa kejayaan umat Islam di sisi Allah itu mestilah melalui tiga hal iaitu teguh beriman, gigih berusaha dan sanggup berkorban; hingga mereka menjadi hamba yang soleh. Setelah itu, InsyaAllah kita akan mendapat kejayaan atas anugerah Allah Yang Maha Besar.
Renungkanlah saudaraku. Apakah kita telah mempunyai sifat yang disebutkan dalam meniti hidup hari ini? Atau kita hanya melengkapkan diri dengan sijil dan kekuatan tenaga serta pangkat untuk kita katakan sebagai kejayaan dan kebahagiaan. Kita adalah dari Allah, Allah yang menetapkan peraturan bagi kita, Allah juga yang menetapkan kejayaan dan kebahagiaan. Kalau kebahagiaan dan kejayaan yang kita katakan telah kita capai, sedangkan ia tidak selari dengan ciri yang ditetapkan oleh Allah, maka kejayaan kita itu hanyalah satu khayalan dan mimpi indah semata-mata!

No comments: