Friday, November 9, 2007

GELOMBANG KUASA RAKYAT BERMULA

‘Kuasa Rakyat Adalah Kuasa Keramat’. Kuasa ini cukup digeruni dan ditakuti oleh semua rejim kuasa pemerintah di dunia. Ianya berlaku jika rakyat melihat kerajaan semasa sudah hilang wibawa, kredibiliti dan amanah, institusi penting negara tidak berfungsi dengan baik dan pincang, individu-individu yang memegang tampok kuasa tertinggi negara persoalan amanah dan integritinya dipertikaikan rakyat kebanyakkan. Rasuah, penyelewengan kuasa dan kezaliman dilakukan oleh pihak pemerintah secara jelas dan terus menerus. Maka di saat itu kedaulatan rakyat menjadi Ketua Hakim Negara yang akan menjatuhkan hukuman kepada rejim pemerintah semasa.
Senario semasa negara kini menyaksikan krisis terbesar telah berlaku apabila krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam pelbagai isu penting dan utama. Ianya meliputi isu krisis badan kehakiman negara apabila pendedahan menerusi klip video perbualan di antara seorang peguam dan hakim kanan negara, rasuah yang melingkari hakim-hakim, pasukan polis, kastam, pihak berkuasa tempatan dan sektor korporat. Isu pembunuhan kejam warga Mongolia iaitu Altantunya dengan bahan letupan C4 yang melibatkan individu penting negara dan pasukan polis serta cara penghakimannya menjadi perbincangan hangat. Keganasan penjenayah dalam kes-kes yang semakin meningkat daripada pembunuhan kanak-kanak sehingga kepada pihak anggota polis menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini amat memeritkan rakyat.

Tambahan pula Laporan Audit Tahun 2006 memperlihatkan banyak kepincangan di sana-sini. Isu kebocoran bangunan milik kerajaan yang mencecah ratusan juta. Kelemahan pentadbiran negara dalam menangani isu murtad dan toleransi agama. Keganasan pasukan polis menggunakan peluru hidup di Terengganu. Perobohan setinggan, surau dan kuil tanpa toleransi daripada PBT dan kerajaan negeri. Isu pembangunan mega koridor-koridor ekonomi yang dijalankan mencecah ratusan billion Ringgit Malaysia. Malahan banyak lagi isu yang saban hari dipaparkan dan didedahkan tidak lain menambahkan lagi krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan semasa yang semakin hilang wibawa dan kredibiliti dalam menangani dengan baik dan bijak masalah negara dan rakyat.

Kes penangkapan dan dakwaan rasuah yang heboh diperkatakan di media-media utama bagaikan mengulangi apa yang telah berlaku sebelum pilihan raya umum ke-11 pada 2004 dahulu. Pada ketika itu Perdana Menteri yang baru mengambil alih pemerintahan cuba membawa imej bersih dan serius dalam soal peperangan rasuah. Tetapi lihat selepas hampir empat tahun tiada sebarang perubahan drastik dalam soal menangani rasuah malahan ianya semakin teruk , parah dan kritikal.

Penangkapan dan dakwaan rasuah terhadap individu-individu tertentu yang giat dilakukan kini sewajarnya diteruskan pula kepada dakwaan-dakwaan yang sudah dilaporkan kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang melibatkan ‘jerung-jerung’ yang didakwa melakukan rasuah melebihi ratusan juta Ringgit Malaysia dan lebih. Bukti yang dikemukan juga cukup konkrit dan boleh dijadikan asas untuk pendakwaan. Tetapi kini peperangan rasuah ditumpukan hanya melibatkan ‘bilis-bilis’ pemain rasuah tetapi yang melibatkan ‘jerung-jerung’ senyap daripada sebarang tangkapan dan dakwaan. Bukannya tiada laporan yang dikemukan kepada BPR tetapi ke mana hasilnya selepas laporan di buat.

Terbaru dakwaan daripada hanya satu kenyataan media oleh Menteri Besar Kelantan yang berkata pernah cuba diberi rasuah lebih 15 tahun dahulu cuba diperbesar-besarkan mengapa beliau tidak membuat laporan. Tetapi kita mempersoalkan kembali akan kredibiliti dan professionalisma Badan Pencegah Rasuah di mana dakwaan, siasatan dan tangkapan sudah dilakukan apabila pertubuhan NGO iaitu GERAK membuat laporan dan menyerahkan bukti 600 mukasurat terhadap kes rasuah seorang menteri kabinet. Ke mana juga penyiasatan terhadap penyelewengan dalam kes pembalakan yang berlaku yang melibatkan sehingga bilion Ringgit Malaysia. Ke mana juga dakwaan dan siasatan terhadap ‘komisen’ ratusan juta dalam kes pembelian 2 buah kapal selam jenis Scorpene dan 18 buah jet pejuang jenis Sukhoi MKM-30. Ke mana juga perginya siasatan dan pendakwaan rasuah terhadap menteri-menteri kabinet, ahli-ahli parlimen , menteri- menteri besar , tokoh-tokoh korporat, dan banyak lagi dakwaan yang senyap sunyi sehingga kini.

Malahan rakyat masih ragu-ragu lagi apakah selepas pilihanraya umum ke-12 ini soal dalam memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan masih menjadi agenda penting BPR dan kerajaan. Kita tidak hendak melihat ianya nampak bersungguh-sungguh dalam menangani rasuah apabila sedar PRU-12 akan berlaku bila-bila masa sahaja sekarang. Tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menagih populariti dan memancing undi rakyat tetapi melupakan fungsi sebenar dalam soal peperangan terhadap rasuah.

Selagi Badan Pencegah Rasuah tidak diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan mendapat arahan terus daripada YDPA maka persoalan kuasa dan pendakwaan BPR akan terus menjadi keraguan kepada rakyat kebanyakkan. Sewajarnya Badan Pencegah Rasuah ini mempunyai tambahan kuasa di mana boleh bertindak untuk membuat siasatan, tangkapan dan dakwaan kepada siapa sahaja tanpa rasa takut dan bimbang sehinggakan mampu dan berani untuk menangkap Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri jika ada dakwaan rasuah yang dikemukakan. Ini sebenarnya keberanian yang ingin rakyat lihat kepada kuasa BPR yang mampu dan betul-betul serius dalam peperangan memerangi rasuah dan penyelewengan dengan ‘without fear and favaor’.

Menyentuh soal krisis badan kehakiman negara, penubuhan Suruhanjaya Bebas dilihat hanya untuk menjadi penyelamat daripada terbongkarnya skandal besar-besaran yang heboh diperkatakan dalam soal perlantikan hakim dan penghakiman yang dibuat dalam beberapa kes individu terbabit yang mempunyai kepentingan. Apakah juga suruhanjaya bebas ini akan menutup kes ini sepertimana juga kes-kes besar yang melibatkan orang-orang besar sebelum ini. Jika benarlah spekulasi ini, maka kemarahan rakyat yang sedar terhadap betapa teruknya senario dalam negara akan mencapai tahap yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

Kita cuba bayangkan jika kes-kes yang berlaku ini berlaku di luar negara sudah pasti ceritanya cukup berbeza. Kita lihat di Korea Selatan, Jepun , Pakistan ,Bangladesh , Indonesia ,Thailand, dan banyak negara lain lagi sehinggakan Presiden dan Perdana Menteri mereka sendiri tidak terlepas daripada dikenakan dakwaan dan dipenjarakan. Ini disebabkan keberanian yang ditunjukkan oleh rakyat mereka sendiri yang cinta dan sayang kepada negara untuk menyelamatkan negara daripada dijahanamkan oleh penyelewengan dan rasuah.

Kita sebenarnya perlu belajar daripada rakyat Thailand dan Indonesia iaitu jiran terdekat kita yang pandai untuk ‘mengajar’ pemimpin utama mereka jika melakukan penyelewengan dan rasuah. Malahan bekas-bekas pimpinan mereka yang didakwa kini adalah hasil kebangkitan berani rakyat mereka untuk turun ke jalan raya selepas pilihanraya tidak mampu memberikan satu bentuk pemilihan yang benar-benar telus.

Tidak keterlaluan juga kita perlu belajar dengan keberanian yang ditunjukkan oleh sami-sami di Mynmar yang sanggup menjadi perintis kepada kebangkitan rakyat untuk turun ke jalan-jalan raya apabila berdepan dengan kerajaan junta tentera yang didakwa tidak demokratik. Di Malaysia kita juga berharap para ulama ,imam dan ustaz berani untuk menyatakan pendirian dan mampu untuk memimpin rakyat dalam soal berhadapan situasi serius yang berlaku di negara ini. Para pensyarah yang mempunyai PHD dan kebijaksanaan yang hebat juga wajar mencetuskan keberanian dan kebangkitan mahasiswa terhadap situasi genting yang berlaku kini.Kuasa kedaulatan rakyat perlu dimobilasikan dengan sebaik mungkin untuk menjadi kuasa pengimbang kepada kerajaan semasa yang dilingkari dengan rasuah dan penyelewengan.

Kita tahu bahawa rakyat Malaysia secara umumnya belum mencapai tahap keberanian yang luar biasa seperti yang berlaku di negara luar negara. Tetapi kita yakin suara senyap ini jika sudah terpendam terlalu lama maka kesannya umpama gunung berapi yang ratusan tahun senyap tetapi jika aktif akan memberikan kesan yang cukup menakutkan. Apa yang cuba dinyatakan di sini ialah rakyat akan turun ke jalan-jalan raya di masa hadapan jika kerajaan yang dipilih dalam sistem demokrasi yang tidak adil sudah tidak dapat membela kebajikan rakyat kebanyakkan.

Bahana rasuah amat memeritkan rakyat keseluruhannya. Yang pasti kenaikan harga barang yang sekarang menjadi-jadi juga adalah disebabkan oleh rasuah yang masih menjadi api dalam sekam kepada sistem ekonomi Malaysia. Pihak sektor swasta dan korporat juga masih tidak terlepas daripada persoalan rasuah kerana sistem yang ada di Malaysia cukup kritikal sehinggakan para pelabur asing masih menaruh kesangsian dalam aspek menangani rasuah yang berlaku di negara ini.

Kita percaya sebenarnya rakyat Malaysia ramai yang sedar namun masih belum bersedia untuk menyatakan secara terbuka. Tetapi tidak bermakna diam mereka bersetuju dengan apa yang berlaku sekarang. Perjalanan pilihanraya di Malaysia juga masih menunjukkan kualiti yang rendah dalam soal keadilan dan professionalisme kepada semua parti yang bertanding. Soal ketelusan dan kewibawaan SPR juga masih dipertikaikan oleh ramai pihak. Malahan PRU-12 ini juga rakyat umumnya masih ragu-ragu lagi akan kredibiliti SPR dalam menjalankan perjalanan pilihanraya yang adil dan saksama.

Pilihan Raya Umum adalah cukup penting kepada sesebuah negara kerana di sini permulaan masa hadapan negara ditentukan. Jika sistem pemilihan wakil rakyat itu sendiri dipertikaikan . Ia juga akan mempertikaikan kerajaan yang dibentuk kelak. Apakah acuan demokrasi yang cuba diterapkan di Malaysia sudah cukup hebat berbanding negara-negara dunia lain sehinggakan sebarang rombakan besar-besaran dalam struktur Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) dirasakan tidak perlu. Kita menegaskan bahawa satu rombakan besar-besaran perlu juga dilakukan terhadap perjalanan pilihanraya itu sendiri untuk lebih demokratik, adil dan telus kepada semua pihak.

Kita ingin mencadangkan bahawa sudah tiba masanya jawatan Perdana Menteri Malaysia di buka untuk pencalonan dan diadakan pilihanraya umum . Biar rakyat diberi kebebasan untuk memilih siapa untuk bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Walaupun perkara ini memerlukan beberapa pindaan terhadap Perlembagaan Negara namun mengapa tidak. Jika ada pilihanraya memilih Perdana Menteri Malaysia ianya sudah pasti satu langkah kehadapan dalam perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara maju dalam erti sebenarnya.

Jika PRU-12 ini, kerajaan yang memerintah tidak bertukar polisi dan pembelaan kepada rakyat daripada apa yang ada sekarang. Kita sudah merasakan bahawa trend kenaikan harga barangan yang sukar dikawal dan teruk dalam sejarah negara 50 tahun ini akan berlaku dan inflasi akan meningkat. Kenaikan harga minyak di pasaran dunia akan menjadi alasan utama untuk menaikkan kesemua harga barangan dan perkhidmatan. Akan berlaku kenaikkan harga petrol, gas, tol , tarif air , eletrik, makanan dan pelbagai lagi yang tidak munasabah.

Jalan terbaik untuk mengekang daripada perkara ini berlaku salah satu tindakan berani gelombang kedaulatan rakyat ialah dengan memberikan undi kepada Barisan Alternatif dalam membentuk kerajaan baru. Jika perkara ini berlaku seperti yang sudah diumumkan oleh Ketua Umum Pari Keadilan Rakyat iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak jika memberi kemenangan kepada Barisan Alternatif adalah satu tawaran yang cukup hebat untuk rakyat Malaysia.

Kita tidak mahu rakyat Malaysia menyesal nanti, kerana kerajaan yang ada sekarang seolah – olah sudah memberikan mesej jika satu kemenangan besar mereka perolehi dalam PRU-12 ini hadiahnya adalah keperitan dalam soal kenaikan harga yang mereka akan berikan kepada semua pengundi mereka dan rakyat Malaysia. Sedangkan dalam keadaan hampir untuk pilihanraya umum ini sendiri dengan kenaikan beberapa keperluan penting makanan rakyat mereka langsung tidak menunjukkan sebarang pembelaan kepada rakyat apalagi selepas PRU-12 ini tiada jaminan langsung akan pembelaan mereka berikan. Kenyataan yang akan mereka keluarkan sudah dijangka iaitu ‘kenaikan harga barangan ini tidak membebankan rakyat’.

Kini gelombang kedaulatan rakyat besar-besaran perlu diterjemahkan dengan sebijak mungkin. Kita perlu memilih pemimpin yang membela kebajikan rakyat. 120 kerusi parlimen perlu kita beri kepada Barisan Alternatif yang selama ini menunjukkan pembelaan yang konsisten terhadap rakyat dan reformasi sistem di Malaysia. 120 kerusi ini yang diberikan akan mengubah satu landskap politik dan ekonomi Malaysia. Kita perlu memberikan mereka peluang untuk menunjukkan prestasi mereka. Jika sesebuah negara kerajaan yang memerintah tidak berubah maka kita akan lihat banyak masalah yang akan ditimbulkannya. Umum mengetahui kerajaan di dunia sudah banyak berubah. Terbaru di Turki kemenangan PKK walaupun berhadapan dengan ancaman campurtangan tentera wajar dijadikan contoh kebangkitan rakyat mereka.

Kita sudah tiada pilihan lain lagi, adalah diramalkan jika PRU-12 ini parti pemerintah yang sudah memerintah lebih 50 tahun itu tidak dipencenkan atau dipersarakan. Maka keperitan dan kesengsaraan ekonomi yang amat akan dirasai oleh semua lapisan rakyat Malaysia sepertimana berlakunya krisis ekonomi 1998 akan berulang lagi pada 2008 ini. Putaran ekonomi selama 10 tahun akan bermula semula kerana kita tidak memerangi rasuah dengan bersungguh-sungguh di samping pucuk pimpinan yang tidak bijak mengurus sumber ekonomi negara dengan sebaik mungkin untuk kebajikan seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya semoga rakyat Malaysia berani dalam soal menyelamatkan negara daripada pemerintah yang rasuah dan penyelewengan. Ingatlah sudah ada rakyat Malaysia yang berani ke angkasa lepas. Mengambil iktibar ini sewajarnya minda rakyat Malaysia juga maju supaya bijak memilih untuk masa hadapan negara. Ayuh rakyat Malaysia kesemuanya gelombang kedaulatan rakyat kita nobatkan untuk menghukum kepada rejim pemerintah yang sudah banyak merosakkan sistem ekonomi , sosial, keselamatan dan keadilan di Malaysia.

Semoga Malaysia selepas ini lebih merdeka, makmur dan aman dalam konteks yang sebenarnya. Pemimpinnya adil dan membela nasib rakyat. Rasuah diperangi habis-habisan tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Pasukan polis yang lebih professional. Badan Kehakiman yang bebas daripada pengaruh Badan Eksekutif. Dan juga semoga ekonomi Malaysia lebih makmur dan rakyatnya dapat menikmati kemakmuran dan kekayaan negara.

SALAH APA DEMONSTRASI AMAN

Tunjuk perasaan adalah satu tajuk yang sangat berkaitan dengan fitrah manusia. Kanak-kanak boleh merajuk. Isteri kadang-kadang boleh menangis. Anak lelaki atau perempuan kita juga biasa menunjukkan pernyataan sikap mereka sama ada suka atau duka melalui perlakuan dan tutur kata.

Semua ini adalah manifestasi perasaan. Apa yang ditunjukkan dinamakan tunjuk perasaan.

Di dalam Islam, kita menunjukkan perasaan kecintaan dan ketundukan kita terhadap Allah S.W.T. melalui sembahyang lima waktu beramai-ramai (berjemaah) yang lengkap dengan aksi duduk, sujud dan tunduk bangunnya.

Kita juga ada solat Jumaat sekali seminggu dan solat sunat dua Hari Raya untuk tiap-tiap tahun.

Kemuncak demonstrasi dapat kita saksikan melalui pertemuan sekali seumur hidup (sekurang-kurangnya) untuk berhimpun di Padang Arafah, melontar iblis di ketiga-tiga Jamrah, Saei di antara Safar dan Marwah dan Tawaf untuk mengEsakan Allah S.W.T. di Kaabah, satu-satunya Kiblat seluruh umat Islam.

Ini semua adalah manifestasi demonstrasi sebenar yang telah dituntut oleh Allah S.W.T. seawal-awal wujudnya Adam Alaihissalam lagi.

Sebagaimana kita dibolehkan berdemontrasi untuk perkara-perkara maaruf, begitulah juga kita dituntut untuk menunjukkan perasaan protes dan penentangan kita terhadap apa juga kezaliman, jika berlaku kezaliman.(Amar maaruf nahi mungkar).

Boleh berdemonstrasi kerana Malaysia negara demokrasi

Dalam konteks demontrasi di Malaysia, bagi yang sudah-sudah atau yang akan diatur, saya melihat ianya tidak bercanggah dengan perintah kebebasan bersuara dalam Islam.

Perhimpunan aman sekadar menyatakan sikap melalui corong-corong pembesar suara semata-mata untuk menjelaskan asas dan hujah adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan apa jua acuan demokrasi atau Islam.

Kita bukan kerajaan junta. Myanmar dilanda perarakan aman sami-sami Buddha lebih 100,000 orang di Dataran Yangon dua minggu yang lalu adalah manifestasi perasaan rakyat yang telah lama terpendam.

Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti.

Bagi saya, saya tetap merestui sebarang perhimpunan aman untuk sekadar menyatakan sikap dan membangkitkan semangat kesedaran untuk menolak kezaliman.

Jika saya tiada masalah kesihatan, saya akan turut bersama dalam mana-mana kesempatan untuk menyatakan protes terhadap apa yang tidak betul dengan syariat Allah S.W.T.

Sungguhpun pihak berkuasa ada mempunyai hak untuk menghalang dengan tidak mengeluarkan permit tetapi biarlah seboleh-bolehnya semua pihak mendahului kaedah perundingan.

Cubalah mencari formula yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak.

Suasana "win-win" ini perlu ada dalam segenap ketika.

Inilah juga apa yang selalu disebut-sebut sebagai semangat permuafakatan.

Jika tak boleh demonstrasi secara berdiri, maka duduklah.

Jika tak boleh berhimpun di Masjid Jamek, maka tak bolehkah bersolat hajat di Masjid India atau berpidato secara tenang di Dataran Merdeka? Jangan sampai tak boleh langsung.

Di Kelantan, suasana di sini sangat tenang. Alhamdulillah. Pihak polis di sini cukup pandai menyesuaikan diri antara undang-undang dan peraturan dan kehendak agama yang turut difahami oleh rakyat.

Setiap ceramah dan perhimpunan awam di sini tidak diganggu kerana masing-masing pihak tahu sempadan dan hak masing-masing.

Kelemahan kerajaan punca protes rakyat

Kadang-kadang isu harga barang yang tidak terkawal, harga minyak yang diuar-uarkan akan naik, tuduhan skandal dalam kes pita rakaman video V.K. Lingam, teguran KDYMM Sultan Perak ke atas sistem kehakiman yang bercelaru, tuduhan rasuah yang melibatkan RM puluhan juta wang rakyat.

Juga pendedahan Ketua Audit Negara mengenai pelbagai salah laku dan pengkhianatan terhadap wang pembayar cukai dan kekhuatiran rakyat yang menyeluruh terhadap SPR dalam Pilihan Raya Umum Kali Ke 12 yang akan datang - ini semua adalah haba.

Ia adalah sesuatu yang hangat. Larva dan magma daripada sebarang gunung berapi boleh meletus jika ditutup mulutnya dengan tudung periuk dan gunung berapi boleh diam buat sementara, tetapi dia akan meletus juga satu hari nanti.

Oleh kerana rakyat merasakan mereka mempunyai fakta dan fakta ini pula tidak dilayan walaupun telah disampaikan melalui saluran demokrasi, maka mereka wajar diberikan laluan untuk berhimpun secara aman.

Selagi mereka memohon dan berjaya untuk menyampaikan protes dengan hujah secara tertib secara aman dengan premis dan masa yang telah diberikan, maka tugas pihak berkuasa ialah untuk memantau.

Bukankah akrabnya kesetiakawan polis dan rakyat itu ada terlambang dalam lencana polis yang berjabat tangan? Dan, hak-hak ini turut diakui oleh pihak SUHAKAM.

Ia adalah hak yang tersedia di dalam Perlembagaan dan boleh dinikmati oleh setiap warganegara seperti yang disebut di dalam Perkara 10 Ceraian 1 A & B iaitu (Every citizen has the right to freedom off speech and expression. All citizens has the right to assemble peaceably and without arms).

Demonstrasi sebenarnya sama juga dengan pernyataan perasaan.

Dalam prinsip dakwah, kita ada 3 saluran iaitu Bilhikmah yakni segala hikmah, nasihat dan tegur menegur atau membangkang secara beradab dan ketiganya bermujadalah yakni bersemuka untuk menyatakan pandangan.

Ketiga-tiga saluran ini dibenarkan oleh Islam. Kenapa pula tiba-tiba dengar khabar, ia akan ditutup semuanya?

Polis patut ikut kata PM, lupakan perkara lama

Dalam pelancaran ECER pada 29 Oktober lalu, kita telah mendengar seruan Perdana Menteri supaya lupakan perkara-perkara yang telah lama.

Beliau mengajak kita untuk memandang ke hadapan dan lupakan perkara-perkara yang lepas.

Cerita tidak memberikan permit ini adalah cerita lama. Oleh itu, kita hendaklah meninggalkannya.

Kita mulakan mulai sekarang, kita perlu membuka agenda baru dengan memulihkan demokrasi dan kembalikan hak rakyat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan yang saya sebutkan.

Ini hak setiap rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau mahu ambil petikan hak orang Islam seperti yang dijaminkan oleh Allah S.W.T., ia ada disebutkan dalam al-Quran Surah Yaasiin ayat 19 (sebahagian ayat) yang bermaksud, "Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas."

Adakah sekadar mahu memberikan peringatan kepada masyarakat pun tidak boleh, sedangkan Islam berkata boleh.

Ringkasnya, beri layanan yang adil kepada semua rakyat.

Jika pemuda Umno pun boleh diberikan permit untuk berdemonstrasi semasa Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice membuat lawatan ke Malaysia, maka apa salahnya membenarkan pemuda PAS membuat demonstrasi di atas sesuatu isu rakyat yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Pokoknya aman tanpa provokasi.

Jika inilah syaratnya dan ini telah dipatuhi oleh parti pembangkang maka saya mahu bertanyalah "salahnya dimana?"

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan - mr

MENCABAR KERJA KAMI

Seperti terjaga dari buaian mimpi gelombang kuning yang cuba mencerut lehernya, tiba-tiba Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menempelak BERSIH kerana masih terus ingin mengadakan perhimpunan aman 10 November. Pak Lah denganmindanya yang masih di peringkat separa sedarnya menjerit .... "saya pantang dicabar"...

Perhimpunan aman esok bertujuan untuk merafak sembah ke bawah Duli Yang Di Pertuan Agong untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Apakah Pak Lah tidak dapat membaca mesej tersebut, bahawa rakyat sebenarnya kini mempesoalkan kepimpinannya yang selama ini memperkudakan Suruhanjaya Pilihanraya, polis dan institusi kehakiman untuk terus berkuasa?


Memang rakyat kini tertekan dan terhimpit hidupnya di regim Pak Lah ini. Telah beberapa kali kita nyatakan dengan nyaring bahawa beliau seorang pemimpin lemah dan tidak berkuasa kerana yang berkuasa kini ialah menantunya, yang berkuasa ialah Peguam Negaranya, yang berkuasa ialah Pengerusi SPR, yang berkuasa ialah Ketua Polis Negara dan yang berkuaa kini ialah Shafie Apdal yang membela lebih banyak kepentingan korporat dari pengguna.

Pak Lah juga meramalkan kononnya sesuatu yang buruk akan berlaku esok.

Dan kami mendapat maklumat terbaru bahawa PEKIDA, sebuah pertubuhan samseng Melayu yang Pak Lah menjadi Penaungnya telah menyebarkan risalah-risalah di masjid-masjid sekitar Lembah Kelang yang berusaha untuk menggagal perhimpunan 100,000 orang esok.

Apakah ini petanda buruk yang dimaksudkan oleh Pak Lah itu bahawa PEKIDA di sekitar Lembah Klang akan turun beramai-ramai dengan memakai baju BERSIH untuk bersama Himpunan100 ribu rakyat yang tujuan mereka adalah khusus untuk melakukan provokasi dan rusuhan bagi memastikan Pihak Polis dapat bertindak balas kepada perhimpunan ini?

Mungkin itulah itu petanda buruk yang ada esok dan Pak Lah orang yang akan diheret untuk bertanggungjawab membenarkan pertubuhan yang beliau sebagai Penaungnya melakukan kerja-kerja samseng yang umum telah mengetahui PEKIDA sememangnya sebuah pertubuhan samseng di negara ini.

Setiap kali rakyat menuntut supaya sistem pemerintahan yang dipimpin oleh Pak Lah diperbaiki, tidak pernah sekalipun Pak Lah mendengar serta memperdulikannya. Sewaktu rakyat Johor berhempas pulas menyelamatkan diri akibat ditimpa bencana banjir Pak Lah bersenang lenang berperahu layar bersama Datuk Seri Jean Todt serta merasmikan Puteri Nasi Kandar di Australia!

Seorang sahabat mengukirkan dengan indah : betapa ironisnya, di tengah banyaknya orang-orang Melayu yang kelaparan (seperti yang siarkan setiap minggu rancangan “Bersama mu” di Tv3) Orang Melayu menyaksikan banyaknya pemimpin Melayu dari UMNO yang berstatus Menteri dan Menteri Besar menghamburkan kekayaan dan tidak menggunakan pada jalan yang tepat bagi membantu Melayu sebaliknya untuk kekayaan anak, menantu dan adik beradik, seperti yang dilakukan oleh Abdullah Hj Ahmad yang menjadikan Kerajaan sekarang seperti harta emak bapak dia dan wajarlah dipanggil kerajaan hari ini “Kerajaan Tiga Beranak”

Dunia mengetahui bahawa Pak Lah kini memperolehi gaji sekurang-kurangnya RM56,ooo sebulan dengan tanpa susah payah menjalankan kerja kementerian-kementerian yang disandangnya disamping jawatan Perdana Menteri. Jadi Pak Lah tidak lansung tergugat dengan sebarang kenaikan harga minyak, tol, barang-barang keperluan yang menjrut rakyat marhaen.

Kaganasan Polis sudah tidak terbendung, negara Malaysia umpama menjadi sebuah negara Polis. Polis bertindak sesuka hati dengan meletakkan undang-undang ditangan mereka tanpa mereka menyedari bahawa mereka sendiri perlu mamatuhi undang-undang.

Sistem kehakiman menjadi sistem katun di negara ini apabila tedapatnya hakim-hakim yang rasuah dan gila pangkat membelakangkan keadilan dan kesaksamaan, melepaskan penjenayah, perasuah dan menghukum pula orang yang tidak bersalah.

Perasuah-perasuah negara dilepaskan bebas oleh Peguam Negara dan ada wakil rakyat yang mampu membina sebuah istana di Kelang. Seorang Menteri Besar BN yang gila kuasa dan tamak dunia sanggup merobohkan perkampungan Melayu serta meruntuhkan surau dan kuil.

Dan Pak Lah masih tidur lena....

Mengapa sekang baru kata "pantang dicabar"?

Apakah Pak Lah merasakan perhimpunan 100,000 orang itu bakal memberi bekas kepada rakyat yang akan memberikan impak negatif kepada kerajaan UMNO/BN di dalam PRU yang akan datang?

Kami telah lama mencabar, itu menantumu yang bernama Khairi Jamaluddin, seorang samseng jalanan yang terang-terang mengakui mendapat perlindungan kerana berbapa mertuakan seorang perdana Menteri. Dan kini kamu mendengar lagi bisikan menantumu untuk bertindak ke atas BERSIH yang menganjurkan perhimpunan esok.

Siapa yang mahu mendengar cabaranmu itu Pak Lah?

Kamu telah terlewat.

Rakyat telah membuat keputusannya, bahawa esok tidak ada siapa lagi yang boleh menghalang kami rakyat terbanyak untuk turun beramai-ramai membawa satu mesej yang jelas kepada dunia supaya sistem demokrasi di negara ini diperbetulkan.

Meminjam bait puisi seorang sasterawan negara, Allahyarham Usman Awang yang dipetik oleh seorang sahabat Roslan SMS

Di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
dimana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tidak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah.

TAHUN-TAHUN YANG PENUH TIPU MUSLIHAT

Diriwayatkan oleh ibnu Majah di dalam Kitan Sunannya, yang bersumber dari Abu Hurairah Radhiyallahu'anhu, ia berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w:

"Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, dimana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercayai orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpecaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah?. Dijawab: iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum" (HR Ibn Majah)

Benarlah kiranya Rasulullah s.a.w., bahawa tahun-tahun yang penuh tipu muslihat tersebut telah datang pada zaman kita sekarang, iaitu tahun-tahun yang telah berubah padanya nilai-nilai moral, sehingga orang yang licik dan pendusta mampu meraih posisi terhormat dan dianggap sebagai orang yang jujur. Sebaliknya, orang yang murni kejujurannya telah dianggap pendusta dan suka mengada-ada. Sebagaimana orang yang suka berkhianat menjadi orang yang diletakkan kepercayaan dan begitulah sebaliknya. Kita bermohon kepada Allah SWT bimbingan dan petunjukNya

ANJING MERAH YANG SUKA MENYALAK

Sajak Khas Untuk Anjing Merah Yang Suka Menyalak Pada Lembaga Kuning

Biarkan anjing merah itu menyalak
perutnya bukan lapar, tekaknya tidak haus
telah banyak tulang temulang rakyatku diratahnya
hatta makanan yang tercicip dibibir pun telah dicurinya



Setiap angka dibilangnya
Semuanya masuk ke dalam mulutnya
Dia tidak peduli
Baginya itu semua milik dirinya
Kalau tak ambil dia akan sawan lagi
Tapi bukan sawan BABI
Dia Sawan Anjing Merah!


Biarkan anjing merah itu menyalak
dia tidak punya maruah seperti kita
dia tidak peduli lagi soal sekelilingnya
demokrasi dikuku-kukunya
umpama najis-najis kelabu yang berdebu


Sang penjilat sanggup menjadi abdi
Kerana takut digigit, tidak mahu disalak
Sang penjilat ini akan lakukan apa sahaja
Demi kesenangan si anjing merah
Najis Kelabu itu dijilatinya


Biarkan anjing merah itu menyalak
Dia kini semakin sesak
Lembaga kuning menakutkannya
Biarkan anjing merah itu menyalak
Lembaga kuning akan saluti wilayah ini

Biarkanlah dia terus menyalak
Kerana anjing tidak akan menjadi anjing kalau dia tak menyalak lagi